AS nasihat rakyatnya tangguh perjalanan ke Korea Selatan

Bernama
Februari 15, 2022 11:57 MYT
Korea Selatan dikategorikan Tahap 4 iaitu berisiko sangat tinggi, termasuk lima negara dan wilayah lain. - Reuters
WASHINGTON: Amerika Syarikat (AS) pada Isnin menasihatkan rakyatnya menangguhkan perjalanan ke Korea Selatan berikutan laporan jangkitan COVID-19 semakin membimbangkan, lapor agensi berita Yonhap.
Pusat Kawalan dan Pencegahan Penyakit (CDC) AS memaklumkan bahawa Korea Selatan dikategorikan Tahap 4 iaitu berisiko "sangat tinggi", termasuk lima negara dan wilayah lain - Azerbaijan, Belarus, Comoros, Polinesia Perancis, serta Saint Pierre dan Miquelon.
"Jika anda perlu ke Korea Selatan, pastikan anda lengkap menerima vaksin dan dikemas kini vaksin COVID-19 anda sebelum melakukan perjalanan.
"Walaupun telah lengkap divaksin, anda masih berisiko mendapat dan menyebarkan virus berkenaan," menurut CDC menerusi laman sesawangnya.
Kini, hampir 140 negara di seluruh dunia dikategorikan Tahap 4 oleh CDC.
Jabatan Negara AS turut meningkatkan tahap amaran perjalanan ke Korea Selatan kepada "Tahap 4: Jangan Melancong."
Pada Isnin, Korea Selatan melaporkan 54,619 jangkitan baharu berikutan penularan pantas varian omicron di seluruh negara.
-- BERNAMA
#Amerika Syarikat #Korea Selatan #COVID-19 #perjalanan berisiko
;