Nasib stok kasut Yeezy Kanye West masih belum diketahui

Agensi
Mac 9, 2023 16:47 MYT
Bjorn Gulden berkata firma itu sedang mempertimbangkan untuk menjual kasut itu dan mendermakan keuntungannya kepada badan amal.- AP / REUTERS
NEW YORK: Jenama Adidas dilaporkan masih belum membuat keputusan terhadap ‘nasib’ koleksi Yeezy hasil kolaborasi bersama penyanyi rap Kanye West, atau Ye, yang bernilai AS$1.2 bilion (RM5.43 billion).
Memetik BBC, timbunan koleksi kasut yang masih ada dijangka mendapat sambutan dari peminat Ye yang dilihat tidak terkesan dengan kenyataan anti-Semitiknya sebelum ini.
Ketua Pegawai Eksekutif Adidas Bjorn Gulden berkata, firma itu sedang mempertimbang untuk menjual kasut itu dan mendermakan keuntungannya kepada badan amal.
Dalam masa sama, Gulden memberitahu pihaknya menolak tindakan lain seperti membakarnya.
“Menyerahkan secara percuma juga rumit. Ini kerana nilai jualan semula dilihat mula melonjak.
“Menurut John Mocadlo, individu yang bertanggungjawab menjual semula kasut AS Impossible Kicks, sepasang kasut Yeezy 350 'Zebra' kini dijual antara AS$340 (RM1,538) dan AS$360 (RM1,628) berbanding sekitar AS$260 (RM1,176) empat bulan lalu,” katanya.
Adidas memutuskan hubungan bersama Ye pada Oktober lalu, susulan beberapa siri kenyataan anti-Semitik yang dibuatnya di media sosial. Kontroversi percakapannya dalam beberapa temu bual yang turut menyebabkan Twitter serta Instagram masing-masing mengehadkan akses ke atas akaunnya.
Sementara itu, Adidas juga memaklumkan mengurangkan dividen bagi 2022 selepas memberi amaran bahawa perpisahan dengan Ye akan mengakibatkan ia mencatatkan kerugian tahunan pertama dalam tempoh tiga dekad tahun ini.
Adidas tidak menyatakan jumlah yang diperoleh daripada jenama Yeezy sejak kerjasama pertamanya dengan Ye bermula pada akhir 2013, namun penganalisis menganggarkan ia merangkumi kira-kira tujuh peratus daripada jualan keseluruhan dalam tahun-tahun terbaiknya.
#media sosial #Kanye West #Yeezy #adidas
;