Nasib mungkin berbeza jika rakyat Perancis dibenar bawa senjata - Donald Trump
Agensi
November 15, 2015 11:14 MYT
November 15, 2015 11:14 MYT
Calon Presiden Amerika Syarikat dari parti Republikan, Donald Trump terus mencetuskan kontroversi apabila berkata serangan di Paris yang meragut sekurang-kurangnya 129 nyawa pada Jumaat mungkin menyaksikan kesudahan yang berbeza sekiranya rakyat Perancis dibenarkan membawa senjata.
“Lihat sahaja di Paris, negara dengan kawalan senjata paling ketat di dunia, tiada siapa pun yang bersenjata, hanya pihak yang jahat,” kata Trump sewaktu berkempen di Texas ketika Perancis sedang berkabung memperingati mangsa serangan.
Trump, 69 seorang jutawan hartanah turut mengaku, dia sendiri adakalanya membawa senjata untuk mempertahan diri: “Mereka (mangsa) tidak bersenjata. Mereka (penyerang) hanya menembak seorang demi seorang sebelum polis merempuh masuk (dewan) dan menembak mati penyerang.
“Saya ingin katakan, anda boleh kata apa sahaja mengenai senjata api tetapi sekiranya mereka (mangsa) dibenarkan membawa senjata, situasinya pasti jauh berbeza.”
Trump turut memberikan contoh bandar Chicago di Amerika Syarikat yang mempunyai undang-undang senjata api yang ketat namun menyaksikan kadar jenayah yang tinggi.