Naruhito naiki takhta, diisytihar maharaja Jepun ke 126
Agensi
Oktober 22, 2019 18:08 MYT
Oktober 22, 2019 18:08 MYT
Maharaja Jepun, Maharaja Naruhito hari ini menaiki takhta ‘Chrysanthemum’ dan diisytiharkan sebagai maharaja ke 126 negara itu.
Istiadat itu diiringi dengan laungan 'banzai' untuk mendoakan pemerintahan baginda agar berpanjangan dan makmur.
Maharaja Naruhito dalam upacara 30 minit itu mengenakan jubah yang dipanggil ‘gosokutai’ lengkap dengan mahkota ‘ryuei-no-onkanmuri’ sebelum menaiki singgahsana maharaja.
Maharani Masako pula mengenakan persalinan terdiri daripada jubah lima lapisan diperbuat daripada sutera menaiki singgahsana maharani yang disebut sebagai ‘August Seat’.
Langsir berwarna ungu yang menutupi kedua-dua singgahsana itu kemudiannya dibuka serentak dengan paluan gong sebelum Perdana Menteri Jepun, Abe Shinzo tampil ke hadapan Maharaja Naruhito.
Maharaja Naruhito kemudiannya menyampaikan titah maharaja diikuti Abe menyampaikan ucapan tahniah yang diakhiri dengan sorakan ‘banzai’ sebanyak tiga kali bagi meraikan pertabalan itu, serentak dengan tembakan Meriam.
Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dan Raja Permaisuri Agong Tunku Hajah Azizah Aminah Maimunah Iskandariah adalah antara 185 ketua negara yang berangkat menghadiri istiadat bersejarah itu.
Istiadat yang berlangsung hari ini merupakan kemuncak kepada beberapa upacara selepas Maharaja Naruhito menggantikan takhta bapanya.
Naruhito merupakan maharaja ke 126 dalam monarki tertua dunia yang berusia lebih 1,500 tahun.
#Al-Sultan Abdullah Ri ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah
#Jepun
#Maharaja Jepun
#Maharaja Naruhito
#Maharani Masako
#Perdana Menteri
#Raja Permaisuri Agong
#Shinzo Abe
#Tunku Hajah Azizah Aminah Maimunah Iskandariah
#Yang di-Pertuan Agong