Narendra Modi angkat sumpah Perdana Menteri baru India
Astro Awani
Mei 26, 2014 21:23 MYT
Mei 26, 2014 21:23 MYT
Narendra Modi selamat mengangkat sumpah hari ini di dalam satu upacara di New Delhi yang dihadiri pemimpin seluruh negara itu.
“Saya, Narendra Damodardas Modi, bersumpah dengan nama Tuhan bahawa saya akan mengekalkan integriti India,” ucapnya dalam bahasa Hindi.
“Saya akan bekerja tanpa rasa gerun, marah atau benci, dan akan melaksanakan keadilan sepertimana yang termaktub di dalam kod perlembagaan,” lafaz perdana menteri ke-15 India itu.
Sejurus selepas mengangkat sumpah jawatan, Modi berjanji untuk membentuk India menjadi sebuah negara yang kuat dan menyeluruh dalam satu kenyataan yang disiarkan di laman web perdana menteri.
“Seiring dengan janji kami untuk membawa pembangunan India ke tahap yang lebih tinggi, kami memohon sokongan, restu dan penglibatan anda secara aktif,” kata kenyataan itu.
“Bersama-sama kita mencipta masa depan gemilang untuk India.
Marilah kita sama-sama mengimpikan India yang lebih kuat, maju dan menyeluruh yang secara aktif terlibat dengan masyarakat global untuk mengukuhkan keamanan dan pembangunan dunia, ” sambung kenyataan itu.