Namibia pilih Netumbo Nandi-Ndaitwah sebagai Presiden wanita pertama

Bernama
Disember 4, 2024 10:45 MYT
Namibia mencipta sejarah apabila memilih Netumbo Nandi-Ndaitwah sebagai Presiden wanita pertama selepas beliau diumumkan menang dalam pilihan raya Presiden minggu lepas. - Gambar fail Reuters
LUSAKA (Zambia): Namibia mencipta sejarah apabila memilih Netumbo Nandi-Ndaitwah, calon Parti SWAPO dan Naib Presiden negara itu sebagai Presiden wanita pertama selepas beliau diumumkan menang dalam pilihan raya Presiden minggu lepas.
Dengan kemenangan Nandi-Ndaitwah, 72, sebagai Presiden terpilih, South West Africa People's Organisation (SWAPO) terus mengekalkan kuasanya di negara itu, lapor Agensi Anadolu.
Beliau memperoleh 57.31 peratus undi, mengatasi 14 calon lain dan melepasi ambang 50 peratus bagi mengelakkan pusingan penentu pilihan raya.
"Selaras dengan Seksyen 109 Akta Pilihan Raya... saya, Elsie Nghikembua pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya Namibia dengan ini mengisytiharkan Yang Berhormat Netumbo Nandi-Ndaitwah daripada Parti SWAPO sebagai pemenang dan presiden terpilih dalam pilihan raya presiden 2024," kata Nghikembua di Windhoek, ketika mengumumkan keputusan pilihan raya.
Nandi-Ndaitwah akan menjadi Presiden kelima Namibia dan wanita keempat memegang jawatan Presiden di Afrika, selepas Ellen Johnson Sirleaf dari Liberia (2006-2018), Joyce Banda dari Malawi (2012-2014) dan Presiden Tanzania, Samia Suluhu Hassan. - BERNAMA
#namibia #presiden wanita pertama #Netumbo Nandi-Ndaitwah #Parti SWAPO
;