Astro Awani logo

Namibia cipta sejarah, Naib Presiden wanita pertama dilantik

Bernama
Mac 23, 2025 11:50 MYT
Article ribbon Namibia cipta sejarah, Naib Presiden wanita pertama dilantik
Lucia Witbooi dilantik sebagai Naib Presiden wanita pertama dalam sejarah negara Namibia.
LUSAKA (Zambia): Presiden baharu Namibia, Netumbo Nandi-Ndaitwah pada Sabtu mengumumkan barisan Kabinet pertamanya dengan melantik Lucia Witbooi sebagai Naib Presiden wanita pertama dalam sejarah negara itu, lapor Anadolu Ajansi (AA).
Dengan pelantikan itu, Namibia kini menjadi satu-satunya negara di Afrika yang mempunyai Presiden dan Naib Presiden wanita.
Nandi-Ndaitwah turut melantik 14 menteri, lapan daripadanya adalah wanita, serta tujuh timbalan menteri dalam satu majlis di ibu negara, Windhoek.
"Saya tidak ragu bahawa kami akan melaksanakan tanggungjawab yang telah diamanahkan oleh rakyat Namibia," katanya.
Sementara itu, beliau berkata, kementerian kerajaan diwajibkan melaksanakan program bagi membasmi kemiskinan.
"Fungsi berkaitan hal ehwal golongan terpinggir dan orang kurang upaya akan diletakkan di bawah pejabat naib presiden bagi memastikan perhatian diberikan sewajarnya," katanya, sambil meminta rakyat Namibia memberi ruang kepada Kabinetnya untuk menjalankan tugas mereka.
Antara pelantikan penting lain ialah Elijah Ngurare sebagai Perdana Menteri dan Selma Ashipala-Musavyi sebagai Menteri Hubungan Antarabangsa dan Perdagangan.
-- BERNAMA
#namibia #Naib Presiden wanita #Lucia Witbooi #Presiden Netumbo Nandi-Ndaitwah
;