Nama tempat terpanjang di dunia
Syakirah Zulkifly
Februari 28, 2018 06:32 MYT
Februari 28, 2018 06:32 MYT
JIKA Kampung Simpang Tiga Durian Chondong, Johor adalah antara nama tempat terpanjang di Malaysia, sebuah bukit di North Island, New Zealand pula mencipta rekod sebagai yang terpanjang di dunia.
Taumatawhakatangihangakoauauotamateaturipukakapikimaungahoronukupokaiwhenuakitanatahu meraih Rekod Dunia Guinness sebagai nama tempat terpanjang di dunia.
Nama pelik dan unik itu adalah daripada bahasa Maori bermaksud ‘bukit di mana seorang pahlawan dan pendaki bernama Tamatea mempunyai lutut yang besar dan menguasai wilayah itu memainkan alat muzik seruling di puncak bukit untuk orang yang disayangi’.
Penduduk setempat menggelar Bukit Taumata sebagai singkatan agar mudah diingati, disebut dan dieja kerana ia mempunyai 85 huruf.
Selain itu, Bukit Taumata memiliki ketinggian sekitar 1,000 kaki atau 305 meter di atas permukaan laut.
Oleh kerana ingin menghormati perjuangan Tamatea dan mengabadikannya, kaum Maori memberi nama bukit itu berdasarkan kisahnya yang berduka bermain seruling di puncak bukit kerana kematian saudaranya semasa perang antara suku di New Zealand pada abad ke-19.
Bukit Taumata yang dahulunya didiami oleh kaum Maori kini sudah menjadi tempat tarikan pelancong dimana mereka akan datang untuk mengambil gambar ketika matahari terbit dan terbenam.
Di samping itu, antara tempat yang memiliki nama yang terpanjang juga adalah di Llanfairpwllgwyngyllgogerychwyrndrobwllllantysiliogogogoch, Wales, Pekwachnamaykoskwaskwaypinwanik di Kanada dan Bukit Mamungkukumpurangkuntjunya di Australia.
#Australia
#Bukit Taumata
#Malaysia
#New Zealand
#rekod dunia Guinness
#Simpang Tiga Durian Chondong
#Wales