Nama kami Bobot Maksimum, Lulus Ujian Dari dan Bibit Milenium

Agensi
Februari 12, 2019 22:04 MYT
Bobot Maksimum memiliki tubuh badan yang kurus meskipun namanya lazim dikaitkan dengan seseorang yang gemuk. Foto Bobot Maksimum
Sepasang suami isteri di Lombok Tengah, Indonesia memberikan nama yang unik kepada ketiga-tiga anaknya dengan harapan agar kesemua mereka berada dalam keadaan baik sepanjang masa.
Bobot Maksimum mengakui berat badannya hanya 56 kilogram sedangkan 'bobot' itu lazimnya dikaitkan dengan seseorang yang mempunyai susuk badan yang gemuk.
Tidak hanya Bobot, malah dua adiknya turut dinamakan dengan nama yang unik iaitu Lulus Ujian Dari yang merupakan seorang perempuan dan adik lelaki bongsunya, Bibit Milenium.
"Nama-nama ini diberikan oleh orang tua kami bukan untuk suka-suka, tetapi semuanya bersebab. Seperti saya, semasa lahir, saya sangat kurus dan sering sakit.
"Ayah ingin saya membesar dengan sihat tanpa sakit dan kini saya membesar dengan sempurna tanpa sebarang penyakit," katanya.
Pemuda berusia 25 tahun itu turut memberitahu, semasa melanjutkan pengajian di Universiti Mataram, ramai kenalannya tidak mempercayai nama unik itu adalah nama sebenarnya sebelum dia menunjukkan kad pengenalan diri sebagai bukti.
Lebih menarik apabila Bobot turut berharap sempena dengan tuah namanya, dia akan terpilih sebagai anggota legislatif Partai Nasional Demokrat (Nasdem).
"Aspirasi masyarakat dan keperluan masyarakat, itu yang harus diperjuangkan," katanya lagi.
#bebot maksimum #bibit milenium #Bobot Maksimum #Indonesia #Lombok Tengah #lulus ujian dari #nama #nasdem #pelik
;