Nama Bangkok secara rasmi ditukar menjadi Krung Thep Maha Nakhon
Agensi
Februari 16, 2022 19:19 MYT
Februari 16, 2022 19:19 MYT
BANGKOK: Pejabat Diraja Thailand (ORST) mengumumkan penukaran nama rasmi ibu negaranya, dari Bangkok menjadi Krung Thep Maha Nakhon. Bagaimanapun, nama Bangkok masih digunakan, lapor agensi berita Bangkok Post.
Kabinet pada Selasa meluluskan draf pengumuman Perdana Menteri berkenaan kemas kini nama negara-negara, wilayah, zon pentadbiran dan ibu negara, seperti yang disyorkan ORST.
Nama rasmi baharu, Krung Thep Maha Nakhon, masih belum diguna pakai selagi tidak diteliti jawatankuasa yang menguruskan semua draf undang-undang. Kabinet juga akan meminta panel jawatankuasa tersebut untuk mempertimbangkan pemerhatian lanjutan daripada Kementerian Luar.
Draf pengumuman ORST itu menyatakan Krung Thep Maha Nakhon akan menjadi nama rasmi bagi ibu negara Kerajaan Thailand. Bagaimanapun, nama Bangkok masih kekal sebagai sandaran rujukan.
Dalam pengumuman yang sama, ORST turut mengemas kini ejaan untuk merujuk kepada ibu negara Itali, Rom; ibu negara Myanmar dari Yangon ke Nay Pyi Taw; dan mengubah nama Neplk kepada Republik Persekutuan Demokratik Nepal.
Timbalan jurucakap kerajaan, Ratchda Dhanadirek pada Rabu memberitahu, tidak banyak yang berubah apabila nama baharu itu diperkenalkan.
Nama Thai, Krung Thep Maha Nakhon, hanya akan digunakan sebagai nama dan urusan rasmi bandar raya itu, sementara nama Bangkok masih ditulis dalam kurungan sebagai rujukan.
Di laman Facebook ORST, juga dinyatakan bahawa kedua-dua nama itu - Krung Thep Maha Nakhon dan Bangkok, boleh digunakan. Penjelasan itu dibuat selepas pengumuman perubahan itu mengundang kritikan awam.
Bangkok telah digunakan secara rasmi sejak November 2001 di bawah pengumuman ORST. Ia berasal dari kawasan lama Bangkok, yang kini merupakan sebahagian daripada wilayah metropolitan raya ibu negara, Bangkok Noi dan daerah Bangkok Yai. Berdasarkan sejarah, nama itu sudah diguna pakai sejak lama.