Nakba: 76 tahun pembantaian zionis Israel di Palestin
Azib Zikry
Mei 14, 2024 07:50 MYT
Mei 14, 2024 07:50 MYT
TARIKH 15 Mei 2024 menandakan genap 76 tahun tanah rakyat Palestin dirampas secara ganas dan dipindahkan secara paksa di tangan peneroka haram Yahudi, tentera Zionis Israel.
Perpindahan besar-besaran penduduk Palestin yang pertama berlaku pada 1948, juga dikenali sebagai Nakba, atau 'malapetaka' dalam bahasa Arab.
Ia diperingati pada 15 Mei setiap tahun, yang juga ironinya, merupakan hari penubuhan negara haram Israel.
Dalam proses penubuhan negara Israel, militan Zionis dengan ganas mengusir hampir 800,000 rakyat Palestin dari tanah asal mereka.
Ia dilakukan melalui kempen pembunuhan, rogol dan peras ugut.
Majoriti penduduk terpaksa melarikan diri atau dihalau dari rumah mereka sendiri selepas tertubuhnya Israel, ketika perang Arab-Israel 1948.
Sehingga kini, komuniti pelarian Palestin berjumlah kira-kira 6 juta, dengan kebanyakannya masih tinggal di kem pelarian di pinggiran bandar setinggan seperti di Lubnan, Syria, Jordan dan tebing barat yang diduduki Israel.
Kini, dunia sekali lagi menyaksikan sebuah malapetaka dahsyat di Gaza.
Sejak bermulanya perang ke atas Gaza 7 Oktober lalu, Israel mengarahkan pemindahan paksa rakyat Palestin, mendorong penduduk 2.2 juta ke bandar Rafah di selatan, melabelkan ia sebagai "zon selamat".
Pencerobohan Israel menyebabkan rakyat Palestin tidak mempunyai tempat perlindungan yang selamat atau keperluan asas, menambahkan lagi kemusnahan yang meluas dilihat di seluruh penjuru kawasan itu.
Masyarakat antarabangsa sangat menentang sebarang bentuk pengusiran besar-besaran rakyat Palestin dari Gaza, susulan kekejaman Israel.