Najib, Modi setuju hubungan Malaysia-India di tahap tertinggi dalam sejarah

Bernama
April 4, 2017 19:28 MYT
Najib dan Modi berjabat tangan selepas sidang media bersama di Hyderabad baru-baru ini. - Gambar Bernama
Perdana Menteri Malaysia Datuk Seri Najib Tun Razak dan rakan sejawatannya dari India Narendra Modi bersetuju bahawa hubungan antara kedua-dua negara berada di "tahap tertinggi dalam sejarah".
Najib menekankan mengenai hubungan kukuh antara kedua-dua negara dalam blog terbaharunya bertajuk "Mengukuhkan Hubungan Dua Hala Malaysia-India" menerusi www.najibrazak.com hari ini.
Najib, yang kini dalam lawatan rasmi enam hari ke India berkata beliau mengadakan pertemuan yang berhasil dengan Modi di New Delhi pada Sabtu apabila mereka mengadakan mesyuarat antara satu sama lain.
"Hubungan dua hala selama 60 tahun terus berkembang ketika kita memperoleh manfaat daripada perkongsian strategik yang kita jalin dengan India," kata Najib.
Perdana Menteri berkongsi sesetengah daripada persetujuan yang dicapai hasil pertemuan beliau dengan Modi termasuk berkaitan kerjasama pertahahan dan keselamatan.
Najib berkata Malaysia akan terus bekerjasama rapat dan meningkatkan kerjasama dengan India untuk memastikan kedua-dua negara itu serta rantau ini terus aman.
"Kami juga menegaskan komitmen kami untuk memerangi sebarang bentuk keganasan dan ekstremisme. Perdana Menteri Modi khususnya berminat dengan program deradikalisasi Malaysia dan kami lebih daripada gembira untuk berkongsi pengetahuan dan pengalaman dengan India," kata beliau.
Mengenai Perjanjian Perkongsian Trans Pasifik (TPPA), kedua-dua negara bersetuju bahawa mereka memerlukan perjanjian perdagangan bebas yang baharu untuk menggiatkan perdagangan antara negara bukan sahaja di rantau berkenaan tetapi juga di seluruh dunia.
Najib berkata beliau dan Modi bersetuju bahawa Perjanjian Kerjasama Ekonomi Komprehensif dua hala perlu digiatkan untuk menjadikannya lebih efektif ketika Perjanjian Perkongsian Ekonomi Komprehensif Serantau (RCEP) menjadi semakin relevan hari ini.
"Saya berharap dengan galakan daripada India, RCEP dapat menjadi realiti lebih awal," kata beliau.
-- BERNAMA
#ekonomi #India #Najib Razak #Narendra Modi #New Delhi #Perdana Menteri #TPPA
;