Najib hadiri upacara angkat sumpah Jokowi sebagai Presiden
Bernama
Oktober 20, 2014 10:36 MYT
Oktober 20, 2014 10:36 MYT
Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak hari ini menyertai kalangan 18 kenamaan asing dan sembilan ketua kerajaan bagi menghadiri upacara mengangkat sumpah Joko Widodo sebagai Presiden baharu Indonesia di sini, pagi ini.
Upacara pelantikan Joko atau lebih dikenali sebagai Jokowi berlangsung pada 10 pagi ini waktu tempatan (11 pagi waktu Malaysia) di hadapan Majlis Permusyawaratan Rakyat (MPR), badan perundangan tertinggi republik Indonesia.
Najib yang mendapat jemputan peribadi Jokowi bagi menghadiri majlis bersejarah Indonesia itu dengan diiringi isteri Datin Seri Rosmah Mansor tiba di kota ini, petang semalam dari Kuala Lumpur bersama-sama pegawai kanan Jabatan Perdana Menteri dan Kementerian Luar.
Sempena lawatan rasmi ini, Perdana Menteri juga akan mengadakan pertemuan dengan Perdana Menteri Australia Tony Abbott dan Setiausaha Negara Amerika Syarikat John Kerry yang turut berada di sini, sejurus selepas tamat upacara pelantikan Presiden Republik Indonesia yang ketujuh itu.
Pada perjumpaan itu yang dijadual berakhir lewat petang ini, Perdana Menteri dijangka berbincang mengenai pelbagai topik dan isu semasa yang dihadapi dunia kini termasuk wabak Virus Ebola (EVD) dan ancaman Kumpulan Militan Negara Islam (IS).
Sementara itu, pada upacara sempena pelantikan Presiden baharu Indonesia, Jokowi akan menyampaikan ucapan sulungnya sebagai Presiden baharu yang akan disiarkan secara langsung ke seluruh republik itu, yang bakal menggambarkan perancangan dan usaha Jokowi untuk membangunkan Indonesia bagi tempoh lima tahun akan datang.
Jokowi mengambil alih jawatan itu untuk memimpin lebih 250 juta rakyat Indonesia daripada Susilo Bambang Yudhoyono yang menjadi Presiden sejak 2004.
Jokowi, yang juga Gabenor Jakarta dan gandingannya Jusuf Kalla, memenangi pilihan raya Presiden selepas menewaskan Prabowo Subianto dan gandingannya Hatta Rajasa.
Sempena upacara itu, kawalan ketat dan sekatan jalan oleh pihak berkuasa menyaksikan kota yang didiami 10 juta penduduk ini mengalami kesesakan jalan yang teruk sejak, semalam.
Sebanyak 24,000 anggota keselamatan dan polis telah dikerah di seluruh kota ini bagi memastikan majlis selama dua jam hari ini berjalan lancar.