Naikkan caj visa hampir 6 kali ganda, kerajaan Arab Saudi terus terima kritikan

Agensi
November 2, 2016 13:03 MYT
Peningkatan caj ini tidak dikenakan terhadap mereka yang memasuki negara itu bagi mengerjakan ibadah Haji dan Umrah buat kali pertama. - AFP PHOTO / AHMAD GHARABLI
TINDAKAN kerajaan Arab Saudi menaikkan caj visa pelawat hampir enam kali ganda bermula Oktober terus mengundang kritikan daripada negara-negara Islam lain yang menyuarakan kebimbangan terhadap bebanan tersebut.
Portal Quartz Africa pada Selasa melaporkan bahawa untuk satu visa kemasukan sehala, pelawat dikenakan bayaran AS$533 (RM2,236), kemasukan enam bulan ialah AS$800 (RM3,356) manakala setahun ialah AS$1333 (RM5,592).
Peningkatan caj visa ini dikatakan bagi mengurangkan kebergantungan negara itu terhadap hasil minyak dan meningkatkan hasil dari sektor lain seperti caj imigresen.
Ia diusulkan Kementerian Kewangan dan Ekonomi Arab Saudi dan berkuatkuasa 2 Oktober lalu iaitu pada tarikh bermulanya tahun baharu Islam, Maal Hijrah.
Walau bagaimanapun, peningkatan caj ini tidak dikenakan terhadap mereka yang memasuki negara itu bagi mengerjakan ibadah Haji dan Umrah buat kali pertama.
Sebagai pengeluar minyak terbesar dunia, kejatuhan harga komoditi itu memberikan kesan langsung dan besar terhadap Arab Saudi dan menjejaskan pendapatan.
September lalu, kerajaan negara itu mengumumkan pemotongan gaji kakitangan awam buat pertama kali.
Perang yang berlangsung membabitkan negara jiran, Yaman turut memburukkan keadaan lagi.
Keputusan meningkatkan caj visa dijangka memberikan kesan berikutan jutaan umat Islam melawat Madinah dan Mekah setiap tahun.
Tindakan itu menyebabkan beberapa negara Islam melahirkan rasa tidak puas hati termasuk pengusaha umrah dan haji di Maghribi yang mengambil keputusan untuk memboikot negara itu sebagai bantahan.
Negara Turki, Mesir dan Nigeria turut melahirkan bantahan yang sama.
Di Afrika Selatan, satu petisyen turut dilancarkan dengan menggelar caj visa itu sebagai tidak berperi kemanusiaan. Petisyen itu juga mendesak kerajaan Arab Saudi untuk membatalkan atau mengurangkan caj terbabit.
#Arab Saudi #Naik caj visa #visa haji #visa umrah