Naik basikal balik rumah selepas digigit jerung

Astro Awani
November 29, 2014 22:07 MYT
Seorang kanak-kanak yang digigit jerung semasa meluncur di sebuah pantai, berbasikal balik ke rumahnya dan bersarapan sebelum ke hospital.
Seorang budak lelaki 13 tahun yang digigit seekor jerung semasa meluncur di pantai dekat Mandurah, 85 kilometer dari Perth, berbasikal balik ke rumahnya dan bersarapan sebelum pergi ke hospital untuk mendapatkan rawatan, lapor portal berita Perth Now.
Cameron Pearman, pelajar Tahun 8 di Kolej Katolik Mandurah, berkata beliau mahu makan roti kismis sebelum ibu bapanya membawa dia ke hospital selepas insiden pada pukul 6 pagi itu.
"Saya sangat lapar. Saya hendak roti kismis sedikit," kata Cameron seperti dipetik oleh portal berita itu.
Budak itu mengalami luka kecil pada kaki kanannya dan dirawat oleh seorang anggota penyelamat pantai, sebelum dia menunggang basikal untuk balik ke rumah, lapor agensi berita dpa.
Apabila dia tiba di rumah, bapanya tidak percaya yang anak lelakinya itu diserang oleh seekor jerung sebaliknya memikirkan anaknya itu terjatuh basikal.
Menurut Cameron, ikan jerung yang dipercayai berukuran 2.25 meter menyerangnya dari belakang dan dia cuma nampak "kepala besar berwarna kelabu."
Menurut budak lelaki itu, insiden tersebut tidak menakutkannya untuk turun lagi ke laut, sebaliknya dia akan terus meluncur seawal-awalnya pada Ahad.
Pihak berkuasa pantai kemudian menutup pantai tersebut daripada dikunjungi orang ramai sehingga 6 pagi Ahad waktu tempatan.
#budak #Cameron Pearman #gigit #jerung #Kolej Katolik Mandurah
;