Naib Presiden AS kritik tindakan China ceroboh Laut China Selatan

Astro Awani
Ogos 24, 2021 13:49 MYT
Menurut Harris, Amerika Syarikat sejak dari dahulu mementingkan visi keamanan, kestabilan, kebebasan di laut dan perdagangan tanpa halangan di wilayah Indo-Pasifik. - Foto REUTERS
SINGAPURA: Naib Presiden Amerika Syarikat (AS), Kamala Harris mengkritik China selepas angkatan tentera negara itu dilihat memasuki perairan Laut China Selatan baru-baru ini.
Menurutnya, tindakan itu adalah satu bentuk intimidasi dan menegaskan AS akan terus memberikan sokongan kepada negara-negara sekutunya di rantau Indo-Pasifik bagi menyekat Beijing daripada berterusan bertindak sedemikian.
Tambahnya, visi negara tersebut termasuklah memastikan kebebasan laluan di perairan yang dianggap sangat penting buat semua.
“Kehidupan jutaan orang bergantung kepada perdagangan bernilai berbilion dolar yang melalui jalan laut ini setiap hari.
BACA: Kamala Harris sampaikan ucapan dasar luar AS pada Selasa
“Namun, di Laut China Selatan, kita tahu bahawa Beijing terus memaksa, mengintimidasi dan membuat tuntutan terhadap sebahagian besar Laut China Selatan.
“Ini adalah tuntutan yang tidak sah, telah ditolak oleh mahkamah pada 2016 dan tindakan Beijing ini terus mencabul keputusan itu selain mengancam kedaulatan negara-negara lain,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap menyampaikan ucapan dasar luar Amerika Syarikat di Singapura pada Selasa.
Tambahnya, Amerika Syarikat sejak dari dahulu mementingkan visi keamanan, kestabilan, kebebasan di laut dan perdagangan tanpa halangan di wilayah Indo-Pasifik.
Diplomasi | Kerjasama AS-Singapura diperkukuh
“Saya di sini untuk menegaskan kembali komitmen kita terhadap visi itu, untuk memperkuatkannya dan memastikannya dapat menangani cabaran hari ini dan esok.
“Untuk melakukannya, kita akan melaburkan masa dan tenaga kita untuk memperkukuhkan perkongsian utama kami, termasuk dengan Singapura dan Vietnam.
“Perkongsian ini akan berlandaskan kepada kejujuran, keterbukaan, keterangkuman, kepentingan bersama dan faedah bersama,” ujarnya.
Dalam pada itu, Harris menegaskan AS khuatir dengan rampasan kuasa oleh tentera di Myanmar.
“Kami mengecam penindasan yang ganas dan kami komited untuk menyokong rakyat di sana ketika mereka berusaha untuk mengembalikan negara mereka ke jalan demokrasi.
“Kami berharap negara-negara di seluruh Indo-Pasifik akan bersatu dengan kami dalam usaha itu,” katanya lagi.
#Kamala Harris #Singapura #China #Amerika Syarikat
;