Naib Presiden Iran letak jawatan selepas 11 hari pegang jawatan

Bernama
Ogos 12, 2024 10:50 MYT
Zarif memberi bayangan bahawa pemilihan menteri untuk Kabinet baharu Pezeshkian menjadi punca keputusannya. - Gambar fail/ AP
TEHRAN: Naib Presiden Iran Mohammad Javad Zarif meletak jawatan, meninggalkan Kabinet Presiden Masoud Pezeshkian hanya 11 hari selepas pelantikannya.
"Saya tidak berpuas hati dengan kerja saya dan kesal kerana saya tidak dapat memenuhi jangkaan," kata ahli politik itu pada petang Ahad menerusi platform X, lapor Agensi Berita Jerman (dpa).
Zarif memberi bayangan bahawa pemilihan menteri untuk Kabinet baharu Pezeshkian menjadi punca keputusannya.
Menurut Zarif, sekurang-kurangnya tujuh daripada 19 menteri yang dicalonkan bukanlah pilihan utamanya.
Zarif merupakan orang kanan Pezeshkian semasa kempen pilihan raya presiden dan kerana popularitinya turut memainkan peranan penting dalam kemenangan Pezeshkian.
Selepas pilihan raya, Zarif dan sekumpulan pakar dijangka menyenaraikan calon untuk jawatan kerajaan yang akan melaksanakan pembaharuan yang dijanjikan, menurut laporan itu.
Pezeshkian membentangkan senarai pada Ahad yang dipercayai pemerhati tidak sepadan dengan rancangan dan janji reformasi.
Zarif adalah ketua diplomat negara itu antara 2013 dan 2021 dan berjaya merundingkan perjanjian nuklear antarabangsa dengan enam kuasa dunia pada 2015 sebagai ketua pasukan perunding Iran.
-- BERNAMA
#Iran #Naib Presiden #Mohammad Javad Zarif #letak jawatan