Nahas Yeti Airlines: Kotak hitam akan diperiksa di Singapura
Astro Awani
Januari 26, 2023 06:40 MYT
Januari 26, 2023 06:40 MYT
SINGAPURA: Kementerian Pengangkutan (MoT) Singapura akan membantu pihak berkuasa Nepal mendapatkan dan proses bacaan data daripada alat rakaman penerbangan 691 pesawat Yeti Airlines yang terhempas di Pokhara pada 15 Januari lalu.
Menurut jurucakap kementerian dalam satu kenyataan pada Khamis, ini menyusuli permintaan daripada pihak berkuasa siasatan di Nepal, lapor CNA.
Proses berkenaan akan dijalankan di kemudahan bacaan data rakaman penerbangan Biro Siasatan Keselamatan Pengangkutan (TSIB) Singapura yang ditubuhkan pada tahun 2007.
"Semua maklumat berkaitan siasatan itu, termasuk perkembangan serta hasil dapatan akan diuruskan pihak berkuasa siasatan Nepal," kata jurucakap itu.
Alat rakaman penerbangan, dikenali sebagai kotak hitam, merupakan alat rakaman elektronik yang ditempatkan di dalam sebuah pesawat bagi membantu siasatan jika berlakunya nahas atau sebarang insiden ketika penerbangan.
Pasukan siasatan yang disertai tiga anggota akan membawa alat rakaman data pesawat dan perakam suara kokpit berkenaan ke Singapura, lapor The Kathmandu Post pada Rabu.
Menurut setiausaha bersama Kementerian Pelancongan Nepal, Buddhi Sagar Lamichhane, pasukan itu akan berlepas ke Singapura pada Jumaat dan proses pemeriksaan dijangka akan mengambil masa sekurang-kurangnya seminggu.
Sebelum ini kotak hitam berkenaan dicadang akan dibawa ke Perancis, di mana pesawat ATR 72 itu dihasilkan.
Pada Februari 2020, MoT Singapura menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) bersama Kementerian Kebudayaan, Pelancongan dan Penerbangan Awam Nepal mengenai kerjasama berkaitan nahas pesawat dan siasatan insiden.
"MoU ini meliputi penggunaan kemudahan dan peralatan, termasuk kemudahan bacaan alat rakaman penerbangan, latihan dan lampiran pemerhati," kata jurucakap kementerian.
Pemeriksaan kotak hitam di Singapura akan dilakukan secara percuma, kata Lamichhane seperti dipetik The Kathmandu Post.
Pesawat 691 yang membawa 72 penumpang terhempas ke dalam gaung ketika menghampiri Lapangan Terbang Antarabangsa Pokhara pada 15 Januari lepas.
Pihak berkuasa Nepal memaklumkan, tiada mangsa terselamat dalam insiden itu.
Punca kejadian, yang terburuk berlaku sejak 30 tahun lalu di Nepal, masih dalam siasatan.