Nahas Sriwijaya: Boeing sedia salur bantuan kepada keluarga mangsa
Azyyati Ahmad
Januari 10, 2021 08:57 MYT
Januari 10, 2021 08:57 MYT
SYARIKAT pengeluar pesawat Boeing sedang mengikuti rapat nahas pesawat terhempas melibatkan penerbangan Sriwijaya Air di Indonesia sejak Sabtu.
Dalam tweet terbaharu, syarikat itu berkata ketika ini pihaknya sedang mengumpul semua maklumat berkaitan insiden berkenaan.
“Kami sedia maklum laporan media dari Jakarta mengenai penerbangan Sriwijaya Air SJ-182.
"Kami doakan kesejahteraan buat anak kapal, penumpang serta keluarga mereka.
“Kami sedang berhubung dengan pelanggan syarikat penerbangan kami dan bersedia untuk menyokong mereka di saat sukar ini,” itu antara yang ditulis dalam tweet terbaharu syarikat itu.
Penerbangan Sriwijaya Air SJ-182 yang menggunakan pesawat jenis Boeing 737-500 hilang dari radar sebaik juruterbang menghubungi menara kawalan lalu lintas udara untuk naik ke ketinggian 29,000 kaki.
Jadual penerbangan pesawat dari Jakarta ke Pontianak dijadualkan mengambil masa 90 minit.
Ketika kejadian, pesawat berkenaan membawa 50 penumpang dan 12 anak kapal, kesemuanya warga Indonesia.
Pesawat dipercayai terhempas sekitar Pulau Laki dan Pulau Lancang, di kawasan perairan Kepulauan Seribu.
Pesawat itu dilaporkan terputus hubungan selepas berlepas dari Lapangan Terbang Soekarno Hatta, Jakarta, jam 2.36 petang waktu Indonesia Barat.
Kontak terakhir pesawat itu dengan menara kawalan udara adalah pada jam 2.40 petang waktu Indonesia Timur.
Pesawat itu dijadualkan tiba di Pontianak, jam 3.15 jam waktu Indonesia Timur (4.15 waktu Indonesia Barat).
#Boeing
#Jakarta
#pesawat
#Sriwijaya Air
#terhempas
#Sriwijaya Air SJ-182
#pesawat terhempas
#Pulau Laki
#SJ182