Nahas Sriwijaya Air: Pesawat mengalami ketidakseimbangan tujahan enjin - Laporan awal

Agensi
Februari 10, 2021 22:48 MYT
Bulan lepas, pesawat Boeing Co 737-500 itu terhempas ke dalam Laut Jawa, menjadikan insiden itu kemalangan kapal terbang ketiga terburuk di Indonesia dalam tempoh lebih dari enam tahun. - Gambar fail/REUTERS
JAKARTA: Pesawat Sriwijaya Air yang terhempas di Laut Jawa bulan lalu mengalami masalah ketidakseimbangan tujahan enjin, menurut laporan awal penyiasat yang dikeluarkan pada Rabu.
Jawatankuasa Keselamatan Pengangkutan Nasional Indonesia (KNKT) dalam laporannya menyebut, apabila pesawat Boeing itu mencapai 2,484 meter selepas berlepas, pemacu pendikit enjin kirinya bergerak ke belakang sementara pemacu kanannya berada di kedudukan asal.
“Pendikit belah kiri bergerak ke bawah manakala yang kanan tidak bergerak langsung seolah-olah ia tersekat, jadi kami tidak tahu mana satu yang mengalami kerosakan.
“Itu sebabnya kami tidak dapat membuat kesimpulan bahawa terdapat masalah pendikit automatik atau tidak,” kata Ketua Penyiasat, Nurcahyo Utomo.
Beliau berkata juruterbang pada penerbangan sebelum ini melaporkan masalah dengan sistem pendikit automatik pada jet berusia 26 tahun itu.
Boeing 737-500 itu tidak berfungsi selama hampir sembilan bulan pada tahun lalu kerana pembatalan penerbangan disebabkan wabak COVID-19.
Pengawal selia dan syarikat penerbangan itu berkata pesawat itu diperiksa sebelum meneruskan penerbangan komersial pada Disember.
Bulan lepas, pesawat Boeing Co 737-500 itu terhempas ke dalam Laut Jawa, menjadikan insiden itu kemalangan kapal terbang ketiga terburuk di Indonesia dalam tempoh lebih dari enam tahun.
#nahas sriwijaya air #Laut Jawa #kemalangan #pesawat #Jakarta #Jawatankuasa Keselamatan Pengangkutan Nasional Indonesia #Nurcahyo Utomo
;