Nahas Sriwijaya Air: Gara-gara laut bergelora, operasi pencarian CVR pesawat dihenti
Agensi
Januari 13, 2021 18:16 MYT
Januari 13, 2021 18:16 MYT
JAKARTA: Operasi mencari perakam suara kokpit (CVR) pesawat Sriwijaya Air SJ182 yang terhempas di Kepulauan Seribu, Sabtu lalu terpaksa dihentikan buat sementara pada Rabu gara-gara cuaca buruk.
Menurut pihak berkuasa Indonesia, misi pencarian CVR yang dijalankan oleh pasukan penyelam di Laut Jawa dihentikan susulan cuaca buruk yang menyebabkan ombak setinggi 2.5 meter, lapor Reuters.
Setakat ini, pasukan penyelam telah berjaya menemui kotak hitam pertama pesawat berkenaan, selain perakam data penerbangan (FDR), lampu isyarat yang bersambung dengan CVR, serta kad pengenalan seorang mangsa nahas, menurut pegawai tentera laut, Abdul Rasyid.
Pencarian kedua-dua CVR itu adalah mustahak bagi mengetahui punca pesawat jenis Boeing 737 berusia lebih 20 tahun itu terhempas.
Pesawat Sriwijaya Air yang membawa 62 penumpang dan kru terhempas empat minit selepas berlepas dan dilaporkan terputus hubungan, menyebabkan kesemua mangsa terkorban.
#Sriwijaya Air
#Indonesia
#Laut Jawa
#kotak hitam
#perakam suara kokpit
#Kepulauan Seribu
#bahas pesawat