Nahas pesawat Rusia: Kotak hitam ditemui
Agensi
November 1, 2015 09:41 MYT
November 1, 2015 09:41 MYT
Pasukan penyelamat dilaporkan berjaya menemui kotak hitam pesawat Rusia, Kogalymavia 9268 (KGL-9268) yang terhempas di kawasan pergunungan terpencil Mesir di Semenanjung Sinai, pada Sabtu, lapor APTN.
Menurut kenyataan Pejabat Perdana Menteri Mesir, kotak hitam daripada ekor pesawat telah dihantar untuk dianalisis oleh pakar.
Kenyataan itu turut memaklumkan bahawa setakat kini, pasukan penyelamat sudah pun berjaya memindahkan 129 mayat dari lokasi nahas untuk dibawa ke rumah mayat di Kaherah.
Semasa kejadian, pesawat berkenaan membawa 224 penumpang termasuk 25 kanak-kanak.
Ia terhempas 20 minit sesudah berlepas dari pusat peranginan terkenal di Laut Merah menuju ke St Petersburg.
Dalam pada itu Perdana Menteri Mesir, Sherif Ismail yang melawat tempat kejadian memaklumkan, peluang pasukan penyelamat menemui mangsa yang terselamat adalah tipis.
Pihak berkuasa ketika ini masih menyiasat punca sebenar nahas.
Sebelum ini, militan IS mendakwa bertanggungjawab menembak jatuh pesawat berkenaan. Namun, setakat ini tiada maklumat yang boleh mengesahkan dakwaan tersebut.