Nahas pesawat: Rusia gantung penerbangan ke Mesir

Astro Awani
November 7, 2015 05:26 MYT
Nahas itu mengorbankan kesemua 224 penumpang yang berada di atas pesawat jenis Airbus A321 itu, termasuk 25 kanak-kanak.
Rusia menggantung semua penerbangannya ke Mesir, susulan pendedahan pasukan penyiasat Eropah yang mendapati nahas pesawat Metrojet milik negara itu yang terhempas, bukan satu kemalangan.
Portal BBC melapor bahawa Presiden Rusia, Vladimir Putin turut mengarah 50,000 pelancong Rusia yang kini bercuti di Mesir untuk dibawa pulang dengan segera.
Keputusan dibuat selepas Putin menerima syor Jawatankuasa Anti-Keganasan Kebangsaan supaya menggantung penerbangan ke negara itu.
Ia juga susulan maklumat risikan yang dikongsi Amerika Syarikat dan Britain.
Menurut pasukan penyiasat, perakam suara kokpit turut mengesahkan bahawa tidak ada sebarang masalah teknikal sepanjang penebangan itu.
Perakam suara kokpit turut mendedahkan terdapat satu letupan dalam pesawat itu sebelum ia terhempas.
Penerbangan dipercayai dalam keadaan baik pada 24 minit pertama, namun selepas tempoh itu tiada lagi data direkod serta suara kedengaran dalam kokpit.
Ia meyakinkan pasukan penyiasat bahawa bom tersebut meletup di dalam pesawat.
Sebelum ini beberapa negara turut mengambil langkah keselamatan sama, menggantung penerbangan ke pusat peranginan Sharm el-Sheikh.
Rusia bagaimanapun sebelum ini menolak teori mengaitkan bom sebagai punca nahas pesawat tersebut.
Memetik laporan BBC, keputusan Rusia untuk menggantung penerbangan ke Mesir adalah satu tamparan hebat kepada industri pelancongan Mesir kerana pelancongan merupakan nadi kepada ekonomi Mesir.
Difahamkan, lebih dari 30 peratus daripada pelancong yang melawat Mesir setiap tahun adalah dari Rusia.
Pada Sabtu, pesawat Kogalymavia KGL9268 milik Rusia terhempas di kawasan pergunungan terpencil di Semenanjung Sinai, Mesir, 23 minit selepas berlepas dari pusat peranginan Laut Merah.
Nahas itu mengorbankan kesemua 224 penumpang yang berada di atas pesawat jenis Airbus A321 itu, termasuk 25 kanak-kanak.
#Mesir #Metrojet #Nahas #penerbangan #Rusia