Nahas pesawat peribadi terhempas di Bahamas ragut enam nyawa

Bernama
Januari 18, 2018 19:18 MYT
Pesawat hilang dari radar kira-kira pukul 8 pagi pada Rabu dan usaha yang dijalankan untuk mengesannya berakhir dengan penemuan bukti bahawa ia telah terhempas pada kira-kira 2.30 petang.
Sebuah pesawat peribadi terhempas berhampiran pantai Andros di Bahamas pada Rabu.
Pesawat ringan jenis Piper Aztec enjin berkembar dengan enam tempat duduk itu dilaporkan dalam perjalanan ke New Providence apabila ia dipaksa berpatah balik ke Andros berikutan cuaca buruk.
Kesemua lima penumpang, termasuk seorang kanak-kanak, dan juruterbang maut dalam nahas itu.
Laporan Pusat Kawalan Trafik Udara di New Providence menunjukkan pesawat itu hilang dari radar kira-kira pukul 8 pagi pada pagi Rabu dan usaha yang dijalankan untuk mengesannya berakhir dengan penemuan bukti bahawa ia telah terhempas pada kira-kira 2.30 petang.
Juruterbang terbabit, yang difahamkan bernama Darren Clarke, didapati telah menerbangkan pesawat itu dalam keadaan cuaca buruk dan berdepan kesukaran berikutan ribut kuat yang tidak dijangka.
Meskipun nama mangsa lain dalam nahas itu telah dilaporkan oleh media sosial, pihak berkuasa belum mengenal pasti identiti semua penumpang pesawat itu atau memaklumkan keluarga mereka.
Misi mencari dan menyelamat sedang dijalankan bersama oleh Pengawal Pantai Amerika Syarikat dan Pasukan Pertahanan Bahamas.
-- BERNAMA-NNN-CARIBBEAN NEWS
#Amerika Syarikat #Andros #Bahamas #hilang dari radar #pesawat #ribut #terhempas
;