Nahas pesawat Lion Air: Objek dipercayai bangkai pesawat dikesan - TNI

Bernama
Oktober 31, 2018 12:39 MYT
Pasukan penyelamat mengangkat beg yang dipercayai berisi barangan peribadi penumpang pesawat Lion Air JT610. - Foto AP/Tatan Syuflana
Pasukan mencari dan menyelamat (SAR) tragedi pesawat Lion Air yang terhempas di perairan Tanjung Karawang pada Isnin, hari ini mengesan satu objek dipercayai bangkai pesawat itu.
Laporan televisyen tempatan memetik Panglima Tentera Nasional Indonesia (TNI) Hadi Tjahjanto sebagai berkata pasukan SAR yang menggunakan teknologi sonar mengesan objek tersebut di satu koordinat di perairan berkenaan.
"Belum diyakini (bangkai pesawat), saat ini (kami) telah fokus satu titik (koordinat), apa yang diduga (dipercayai) adalah bahagian JT610 (pesawat Lion Air)," katanya dipetik siaran televisyen Berita Satu.
Beliau yang turut serta dalam operasi pencarian itu berkata pasukan penyelam telah diarahkan ke lokasi berkenaan.
BACA: Lapor langsung: Nahas pesawat Lion Air
Operasi pencarian 24 jam itu yang melibatkan anggota tentera, polis serta Badan Nasional Pencarian dan Pertolongan Indonesia (Basarnas) menggunakan 35 kapal, tiga helikopter serta tiga pesawat selain pasukan penyelam.
Operasi pencarian turut menggunakan peralatan canggih seperti pemerum gema berbilang alur, sonar dan kenderaan kawalan jauh (ROV) bagi mengesan bangkai pesawat.Penerbangan JT610 yang membawa 181 penumpang dan lapan anak kapal itu terhempas tidak lama setelah berlepas dari Lapangan Terbang Soekarno-Hatta pada 6.20 pagi Isnin.
Pesawat jenis Boeing 737 MAX 8 itu yang dijadualkan tiba di Lapangan Terbang Depati Amir Pangkal Pinang pada 7.10 pagi hari sama waktu Indonesia Barat, dilaporkan terputus hubungan sebelum terhempas.
#Badan Nasional Pencarian dan Pertolongan Indonesia #Basarnas #Jakarta #JT610 #kenderaan kawalan jauh #Lapangan Terbang Depati Amir #Lion Air #operasi #Pangkal Pinang #penerbangan #pesawat #ROV #SAR
;