Nahas pesawat Lion Air: Kad pengenalan, buku akaun bank, anggota badan antara ditemui
Nursyazwani Saiful Sham
Oktober 29, 2018 13:39 MYT
Oktober 29, 2018 13:39 MYT
BEBERAPA kad pengenalan mangsa pesawat Lion Air JT-610 yang terhempas ke dalam laut beberapa minit selepas berlepas dari Jakarta pada pagi Isnin antara butiran yang ditemui oleh pasukan penyelamat.
Menurut Timbalan Bahagian Operasi Pencarian, Pertolongan dan Kesiapsiagaan (BASARNAS), Mejar Jeneral Nughroho Budi Wiryanto, beberapa barangan dipercayai milik penumpang dan kru pesawat ditemui di lokasi pesawat tersebut terhempas.
Menurut Budi, serpihan pesawat turut dipercayai ditemui pasukan penyelamat tempatan Badan Nasional Pencarian dan Pertolongan (BASARNAS) Indonesia.
Beliau turut berkata, jenazah penumpang akan dibawa ke RS Polri Kramat Jati di Tanjung Priok, Indonesia.
Apa yang lebih menyayat hati, jurucakap Bahagian Komunikasi BASARNAS, Sutopo Purwo Nugroho turut berkongsi antara serpihan lain yang ditemui adalah sarung (casing) telefon bimbit milik mangsa dan beberapa dokumen berkaitan.
Netizen yang mengikuti perkembangan terkini turut mendoakan agar proses SAR berjalan dengan lancar.
BACA: Nahas Pesawat Lion Air: Juruterbang beri indikasi pulang ke pangkalan sebelum hilang dari radar?
Pesawat Lion Air JT 610 dari Jakarta ke Pangkalpinang pada jam 6.20 pagi (waktu tempatan) dilaporkan terputus hubungan dengan pihak kawalan trafik udara sekitar jam 6.33 pagi (waktu tempatan).
Buat masa ini, dipercayai seramai 178 orang dewasa, seorang kanak-kanak, dua bayi, dua juruterbang dan lima kru penerbangan berada dalam pesawat berkenaan.