Nahas pesawat di Colombia: 'Dia baru sahaja diberitahu akan jadi ayah'
Madiha Abdullah
November 30, 2016 10:00 MYT
November 30, 2016 10:00 MYT
SEBUAH video yang memaparkan kegembiraan salah seorang mangsa nahas pesawat di Colombia menjadi perkongsian viral di laman sosial.
Tiago da Rocha Vieira Alves, yang merupakan salah seorang pemain kelab bola sepak Chapecoense yang terkorban dalam nahas itu, dilihat cukup gembira dan teruja selepas diberitahu dia akan menjadi bapa oleh rakan-rakan sepasukannya.
Video itu dirakam Rabu minggu lepas lebih kurang seminggu sebelum nahas berlaku.
Tiago, yang dikenali sebagai Tiaguinho dalam kalangan penyokong merupakan penyerang utama pasukan tersebut dan merupakan penjaring gol kemenangan Chapecoense di peringkat separuh akhir Copa Sudamericana, lima hari lalu.
Menurut portal CNN, Tiago yang baru berusia 22 tahun, berkahwin Disember tahun lalu dan sememangnya berharap dapat segera menjadi ayah.
"Kehamilan isterinya satu keajaiban bagi kami. Sekurang-kurangnya ada peninggalan Tiago untuk kami sekeluarga.
"Saya bersyukur dia dapat menikmati khabar gembira itu sebelum dia pergi," sepupu Tiago, Gilmara Marins memberitahu CNN.
Dalam nahas pada Isnin, kapal terbang membawa 81 penumpang termasuk pemain kelab Chapecoense dari Brazil terhempas di wilayah Medellin di Colombia.
Pasukan itu sepatutnya menentang Atletico Nacional dalam perlawanan akhir pertama (first leg final) Copa Sudamericana.
Laporan beberapa portal berita menyebut, Atletico Nacional sudah mengemukakan permohonan kepada Persatuan Bola Sepak Amerika Selatan (CONMEBOL) agar kejuaraan diberikan kepada Chapecoense.
Video: YouTube SF Noticias