Nahas pesawat China Eastern mungkin disengajakan - Laporan
Astro Awani
Mei 17, 2022 06:00 MYT
Mei 17, 2022 06:00 MYT
NAHAS pesawat China Eastern yang mengorbankan 132 penumpang dan kru pada Mac lalu dipercayai sengaja dilakukan.
Penyiasat Amerika Syarikat (AS) percaya seseorang di dalam kokpit pesawat itu dengan sengaja menyebabkan pesawat itu terhempas, lapor Wall Street Journal pada Selasa.
Penerbangan China Eastern MU5735 yang dalam perjalanan dari Kunming ke Guangzhou pada 21 Mac secara tiba-tiba menjunam dari ketinggian 29,000 kaki ke lereng gunung, mengorbankan kesemua 132 orang di dalamnya.
Data menunjukkan bahawa seseorang - mungkin juruterbang atau sesiapa yang menceroboh masuk ke dalam kokpit - telah memasukkan input yang dipercayai menyebabkan pesawat Boeing 737-800 itu menjunam.
"Pesawat itu melakukan apa yang diarahkan oleh seseorang di dalam kokpit," lapor Wall Street Journal yang memetik penilaian awal oleh pegawai penyiasat AS.
Pegawai penyiasat AS percaya kesimpulan mereka disokong oleh fakta bahawa penyiasat China setakat ini tidak menunjukkan sebarang masalah dengan pesawat atau kawalan penerbangan yang boleh menyebabkan nahas.
Kedua-dua Lembaga Keselamatan Pengangkutan Kebangsaan (NTSB) AS dan Boeing enggan mengulas mengenai laporan siasatan itu.
Menurut laporan daripada Boeing, pasukan penyiasat tidak menemui bukti berlaku "insiden yang tidak normal," kata Pentadbiran Penerbangan Awam China (CAAC) pada April.
Dalam satu kenyataan, CAAC berkata kru penerbangan telah memenuhi keperluan keselamatan sebelum berlepas.
Tambahnya, pesawat itu juga tidak membawa barangan berbahaya manakala cuaca adalah baik pada hari kejadian.
Tragedi itu disifatkan sebagai bencana udara paling dahsyat di China dalam beberapa dekad.
BERITA BERKAITAN