Nahas Nepal: Menara kawalan didakwa punca nahas
Agensi
Mac 12, 2018 05:13 MYT
Mac 12, 2018 05:13 MYT
Ketua Pegawai Eksekutif US Bangla Airline, Imran Asif mendakwa juruterbang pesawat malang itu mendapat arahan mengelirukan dari menara kawalan udara (ATC) Kathmandu hingga pesawat itu mendarat di laluan yang salah dan terhempas.
Rumusan itu dibuat dalam satu sidang media di Dhaka.
Imran bagaimanapun tidak mengemukakan sebarang bukti untuk menyokong dakwaan itu.
Sebaliknya Imran menegaskan, dakwaan ini dibuat selepas mendengar rakaman ATC.
"Kami mendapati tiada sebarang kecuaian berlaku di pihak juruterbang kami," tegas Imran.
Juruterbang, Kapten Abid Sultan dilaporkan terselamat daripada nahas tersebut.
Imran juga menegaskan Kapten Abid merupakan bekas juruterbang tentera, dan mempunyai rekod perkhidmatan yang cemerlang.
"Kapten kami merekodkan lebih 5,000 jam penerbangan. Dia juga bertanggungjawab menjalankan latihan untuk pelatih juruterbang yang baru mengendalikan pesawat ini," jelas Imran.
Nahas pesawat jenis Bombardier Dash Q400 itu berlaku apabila pesawat itu melanggar pagar lapangan terbang dan terbakar, di sebuah lapangan berdekatan tarmak Lapangan Terbang Antarabangsa Tribhuvan.
Sekurang-kurangnya 50 penumpang disahkan maut sehingga kini.
Pesawat itu membawa 71 penumpang termasuk anak kapal dalam perjalanan dari Dhaka ke Kathmandu.
Salah seorang mangsa terselamat Basanta Bohora memberitahu, pesawat itu mula bergegar ketika ia menghampiri Kathmandu.
Dia kemudian mendengar satu letupan kuat.
Bohora memberitahu dia terpaksa memecahkan tingkap pesawat untuk menyelamatkan diri.