Nahas Lion Air JT610: Jokowi arah siasat punca kejadian
Astro Awani
Oktober 29, 2018 07:23 MYT
Oktober 29, 2018 07:23 MYT
Presiden Indonesia Joko Widodo (Jokowi) telah mengarahkan Suruhanjaya Keselamatan Pengangkutan Kebangsaan menyiasat punca nahas pesawat Lion Air yang terhempas ke dalam laut pada Isnin.
Beliau pada masa sama meminta seluruh rakyat Indonesia agar terus berdoa supaya semua 189 mangsa, termasuk penumpang, juruterbang dan anak kapal, dapat ditemui.
Bercakap pada satu sidang media selepas menghadiri satu persidangan di Bali pada Isnin, Jokowi berkata pasukan mencari dan menyelamat sedang melakukan yang terbaik dalam usaha menjejak mangsa.
Setakat ini, sembilan beg berisi jenazah mangsa telah dibawa ke Hospital Polis Republik Indonesia di Tanjung Priok
Sejurus tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Soekarno-Hatta di Jakarta, Jokowi bertemu sanak-saudara mangsa nahas pesawat berkenaan.
Beliau sempat menenangkan mereka yang nyata masih terkejut dan trauma dengan kejadian yang membabitkan pesawat yang baru dua bulan beroperasi itu.
Jokowi pada masa sama mengarahkan pasukan mencari dan menyelamat mendapatkan badan pesawat secepat mungkin memandangkan dikhuatiri ramai mangsa masih berada di dalamnya kerana tersangkut pada kerusi.