Nahas Lion Air: 178 penumpang dewasa, seorang kanak-kanak, dua bayi
Astro Awani
Oktober 29, 2018 11:48 MYT
Oktober 29, 2018 11:48 MYT
Pesawat Lion Air JT 610 dari Jakarta ke Pangkalpinang yang berlepas pada jam 6.20 pagi (waktu tempatan) dilaporkan terputus hubungan dengan pihak kawalan trafik udara sekitar jam 6.33 pagi (waktu tempatan).
Buat masa ini, dipercayai seramai 178 orang dewasa, seorang kanak-kanak, dua bayi, dua juruterbang dan lima kru penerbangan berada dalam pesawat berkenaan.
Namun, senarai penumpang penerbangan masih belum dikeluarkan oleh pihak berkuasa di Indonesia.
Sementara itu, Lion Air dalam satu kenyataan hari ini berkata, kedua-dua juruterbang dan pembantunya masing-masing mempunyai pengalaman luas mengendalikan penerbangan.
Jelas kenyataan itu, juruterbang pesawat, Kapten Bhavye Suneja mempunyai pengalaman mengendalikan penerbangan lebih daripada 6,000 jam.
Manakala pembantu juruterbang pula, Harvino mempunyai pengalaman mengendali penerbangan lebih daripada 5,000 jam.
Dalam kejadian itu, pesawat Lion Air JT 610 membawa 178 penumpang dewasa, seorang kanak-kanak dan dua bayi.
Malah, lima pramugari dan jurteknik yang turut terkorban dikenali sebagai Shinta Melina, Citra Noivita Anggelia, Alviani Hidayatul Solikha, Damayanti Simarmata, Mery Yulianda dan Deny Maula.
Tiga daripada pramugari yang terkorban itu merupakan pramugari pelatih syarikat penerbangan tersebut.
"Pesawat Boieng 737 MAX 8 itu buatan 2018 dan baharu sahaja beroperasi sejak 15 Ogos tahun ini.
"Lion Air sangat prihatin dengan kejadian ini dan akan bekerjasama dengan semua pihak yang terlibat dalam kejadian ini," katanya.