'Nahas kamu, pejuang Hamas' - Netanyahu

Astro Awani
Oktober 12, 2023 08:00 MYT
Anggota tentera rejim zionis Israel dalam kereta kebal menuju ke sempadan Gaza. - Foto REUTERS
PERDANA Menteri Israel Benjamin Netanyahu memberi amaran setiap ahli pejuang Hamas "akan mati" dalam satu kenyataan selepas menghadiri mesyuarat tergempar kerajaan.
Ahli pembangkang Benny Gantz turut menyokong Netanyahu dan berkata "sudah tiba masanya untuk perang".
Namun Presiden Amerika Syarikat (AS) Joe Biden memaklumkan beliau telah mengadakan perbincangan dengan Netanyahu dan menegaskan Israel perlu "mematuhi undang-undang perang".
Angka korban di Israel telah mencecah 1,200 manakala lebih 1,100 terkorban akibat serangan udara tentera rejim zionis di Gaza.
Dalam pada itu briged al-Qassam Hamas mengeluarkan video yang menunjukkan pembebasan seorang tebusan wanita dan dua kanak-kanak.
Video yang disiarkan di portal berita Al Jazeera pada Rabu dirakam dari jauh dan menunjukkan wanita yang tidak dikenal pasti itu berjalan di depan kanak-kanak berkenaan.
Ketiga-tiga mereka ditinggalkan di sempadan Israel dan Gaza oleh beberapa pejuang Hamas.
Tidak dapat dipastikan bila video itu dirakam namun pihak berkuasa Israel belum memberi sebarang komen tentang kejadian itu.
Dalam satu kenyataan, Hamas memaklumkan, wanita tersebut merupakan warga negara Israel.
"Seorang penduduk Israel serta dua anaknya telah dibebaskan selepas ditahan ketika tercetusnya pertempuran," katanya memetik laporan agensi berita AFP.
#rejim Zionis #Palestin #Benjamin Netanyahu #Hamas
;