Nahas Jeju Air: Bulu burung, darah ditemui dalam kedua-dua enjin pesawat - Sumber

Reuters
Januari 17, 2025 15:05 MYT
Hanya dua kru di bahagian ekor pesawat terselamat dalam nahas penerbangan paling buruk di Korea Selatan. - Gambar/ Reuters
PENYIASAT menemui bulu burung dan darah dalam kedua-dua enjin pesawat Jeju Air yang terhempas di Korea Selatan bulan lalu, mengorbankan 179 orang, kata seorang individu yang rapat dengan siasatan itu kepada Reuters pada Jumaat.
Pesawat Boeing 737-800 itu, yang berlepas Bangkok, menuju ke daerah Muan di barat daya Korea Selatan, mendarat tanpa tayar dan terbabas dari landasan lapangan terbang wilayah itu sebelum terbakar setelah melanggar tebing.
Hanya dua kru di bahagian ekor pesawat terselamat dalam nahas penerbangan paling buruk di Korea Selatan.
Kira-kira empat minit sebelum nahas maut itu, salah seorang juruterbang melaporkan pelanggaran burung dan mengisytiharkan kecemasan sebelum memulakan prosedur *go-around* dan cuba mendarat di hujung bertentangan landasan, menurut pihak berkuasa Korea Selatan.
Dua minit sebelum juruterbang mengisytiharkan panggilan kecemasan *Mayday*, kawalan trafik udara telah memberi amaran supaya berhati-hati kerana "aktiviti burung" di kawasan tersebut.
Penyiasat pada bulan ini menyatakan bahawa bulu burung ditemui pada salah satu enjin yang ditemui di lokasi nahas, sambil menambah bahawa rakaman video menunjukkan terdapat pelanggaran burung pada enjin tersebut.
Kementerian Pengangkutan Korea Selatan enggan mengulas sama ada bulu burung dan darah ditemui dalam kedua-dua enjin.
Kedua-dua kotak hitam pesawat itu - kunci untuk menentukan punca nahas bulan lalu - berhenti merakam kira-kira empat minit sebelum kemalangan berlaku, menimbulkan cabaran kepada siasatan yang sedang dijalankan.
Sim Jai-dong, bekas penyiasat kemalangan kementerian pengangkutan, berkata pada hari Ahad bahawa kehilangan data itu mengejutkan dan mencadangkan semua kuasa, termasuk kuasa sandaran, mungkin telah terputus, yang jarang berlaku.
Pelanggaran burung yang menjejaskan kedua-dua enjin juga jarang berlaku dalam penerbangan di peringkat global.
Namun, terdapat kes-kes juruterbang berjaya mendaratkan pesawat tanpa kematian dalam situasi seperti itu, termasuk "Keajaiban di Sungai Hudson" di Amerika Syarikat pada 2009 dan pendaratan di ladang jagung di Rusia pada 2019.
#Jeju Air #nahas pesawat #punca kejadian #burung #terkini
;