Nahas helikopter di Nepal ragut nyawa juruterbang, 4 penumpang warga China

Bernama
Ogos 7, 2024 06:30 MYT
Pasukan penyelamat meninjau tapak helikopter yang terhempas di kawasan Suryachaur, di barat laut Kathmandu, Nepal pada Rabu. - Gambar AP
KATHMANDU: Empat penumpang warga China dan juruterbang terbunuh apabila sebuah helikopter terhempas di Daerah Nuwakot, Wilayah Bagmati, Nepal pada petang Rabu, lapor Xinhua.
"Lima orang di dalam helikopter, termasuk juruterbang, telah terbunuh. Kami telah menemui semua mayat," kata Jurucakap Polis Nepal, Dan Bahadur Karki kepada Xinhua.
Helikopter milik Air Dynasty Nepal itu sedang dalam penerbangan dari Kathmandu ke Syafrubesi di Daerah Rasuwa dan terhempas di Shivapuri, Nuwakot, kata Jurucakap Polis Daerah Nuwakot, Tilak Bharati.
Helikopter yang membawa empat penumpang warga China itu terputus hubungan dengan menara kawalan di Kathmandu tiga minit selepas berlepas, menurut kenyataan Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Nepal. Nahas berlaku pada pukul 1.54 tengah hari waktu tempatan.
Kedutaan China di Nepal mengesahkan bahawa empat warga China terbunuh dalam kejadian itu.
Perdana Menteri Nepal, KP Sharma Oli menyatakan rasa sedih atas nahas itu.
Pada 24 Julai lepas, sebuah pesawat domestik terhempas semasa berlepas di Lapangan Terbang Antarabangsa Tribhuvan di Kathmandu, mengakibatkan 18 maut dan seorang cedera. - BERNAMA-XINHUA
TAG: Nepal, Helikopter, Air Dynasty, penumpang, juruterbang
#helikopter terhempas #Nepal #juruterbang maut #penumpang warga China
;