Nahas Germanwings: Pasukan penyelamat giat mencari mayat mangsa
AFP
Mac 25, 2015 20:55 MYT
Mac 25, 2015 20:55 MYT
Pasukan penyiasat pada Rabu memeriksa tapak nahas pesawat Germanwings di kawasan pergunungan Alps Perancis untuk mencari mayat dan petunjuk terhadap tragedi yang telah meragut kesemua 150 orang termasuk enam anak kapal tersebut.
Ratusan anggota bomba dan polis dari Le Vernet giat menjalankan operasi besar-besaran di kawasan tersebut yang bentuk muka buminya hanya dapat diakses menggunakan helikopter dan juga langkah pendakian manusia.
Sementara itu di Paris, pakar-pakar sedang membuat persiapan untuk menganalisa salah satu daripada kotak hitam untuk mencari jawapan mengenai pesawat Germanwings Airbus A320 yang terhempas dalam cuaca baik tersebut.
Presiden Perancis Francois Hollande dan rakan sejawatannya dari Jerman dan Sepanyol dijadual akan melawat kawasan nahas untuk memberi penghormatan terakhir kepada mangsa nahas terburuk di Perancis dalam tempoh empat dekad itu.
Pemeriksaan kotak hitam yang merakam perbualan dan bunyi dalam kokpit akan bermula secepat mungkin, kata Menteri Dalam Negeri Perancis, Bernard Cazeneuve.
Sementara itu Menteri Pengangkutan, Alain Vidalies berkata, jika suara kokpit tersebut dapat diproses, siasatan dapat dilakukan dengan secepat mungkin seterusnya untuk mendapatkan penjelasan.
Kotak hitam kedua iaitu alat perakam data penerbangan masih belum ditemui.
Pihak berkuasa sedang berusaha mendapatkan jawapan bagi mendapatkan petunjuk awal tentang penyebab pesawat Germanwings itu menjunam selama lapan minit sewaktu dalam penerbangan dari Barcelona ke Dusseldorf.
Tiada isyarat kecemasan dihantar dan kru pesawat didapati gagal untuk memberi respon kepada beberapa panggilan dari pusat kawalan.
Suasana dahsyat
Di luar kawasan nahas yang kini dipenuhi serpihan pesawat, polis Perancis telah membuat sekatan jalan dan mengarahkan semua kenderaan awam agar berpatah balik.
“Zon ini sangat sukar untuk dimasuki kerana luka buminya yang licin akibat hujan dan salji. Kami perlu mengawal zon ini sebelum pasukan penyiasat tiba.
“Kita tidak berkejar dengan waktu sebaliknya perlu lakukan apa saja mengikut kaedah yang perlu,” ujar jurucakap Kementerian Luar Perancis, Pierre-Henry Brandet.
Menurut salah seorang penyiasat yang ditemui, pesawat itu dilaporkan musnah berkecai dengan bahagian bangkai pesawat yang paling besar hanyalah sebesar beg bimbit.
Lebih daripada 300 anggota polis dan 380 anggota bomba telah dikerahkan untuk menjalankan misi pencarian di kawasan tersebut.
“Akses darat sangat teruk kerana ini kawasan pergunungan. Muka buminya curam dan sangat sukar untuk ke sesuatu tempat dalam musim sejuk kecuali dari udara,” ujar seorang penduduk tempatan, Francoise Pie.
Dalam masa yang sama, ahli keluarga mangsa dijangka tiba di sebuah pusat kaunseling yang disediakan di sebuah perkampungan yang hampir dengan kawasan nahas.
Beberapa helikopter penyelamat berlegar-legar di ruang udara pergunungan Seyne-les-Alpes, Perancis, untuk mencari 150 mangsa nahas pesawat Germanwings 4U 9525.
- Foto AP/Christophe Ena
Kanak-kanak, penyanyi
Antara penumpang pesawat tersebut ialah 16 orang remaja Jerman yang dalam penerbangan pulang daripada acara rombongan sekolah.
Sekolah mereka yang terletak di bandar Haltern di Jerman sudah menjalankan upacara peringatan ke atas mereka pada Rabu.
“Ini pastinya hari paling gelap dalam sejarah bandar ini. Ia adalah perkara terburuk yang boleh anda bayangkan,” ujar Datuk Bandar Haltern, Bodo Klimpel.
Sementara itu Sepanyol mengumumkan hari berkabung selama tiga hari dan rakyatnya diminta bertafakur selama seminit pada tengah hari Rabu.
Raja Sepanyol, Raja Felipe VI juga terpaksa memendekkan lawatan rasmi pertamanya ke Perancis sejurus selepas menerima khabar mengenai tragedi tersebut.
Penyanyi opera terkenal Jerman, Oleg Bryjak, 54, dan Maria Radner, 33, juga berada dalam pesawat berkenaan. Radner melancong bersama suami dan bayi mereka.
Petugas syarikat Lufthansa bertafakur untuk memberi penghormatan kepada mangsa nahas pesawat Germanwings 4U 9525 yang terhempas di pergunungan Alps. - Foto AP/Michael Probst
Dalam perkembangan berkaitan, Cazeneuve berkata penyiasat tidak memberi perhatian tentang kemungkinan pesawat tersebut diserang pengganas.
Germanwings yang merupakan syarikat penerbangan tambang murah yang dimiliki Lufthansa mempunyai rekod keselamatan yang cemerlang namun sehingga kini masih belum terdapat sebarang petunjuk tentang punca tragedi yang berlaku dalam keadaan cuaca baik itu.
Pihak Lufthansa berkata, mereka sedang berusaha mengesahkan bahawa insiden itu merupakan sebuah kemalangan.
“Apa sahaja kemungkinan lain hanyalah satu spekulasi,” kata Naib Presiden Lufthansa Heike Birlenbach sambil menambah bahawa pesawat berusia 24 tahun itu baru saja menjalani rutin pemeriksaan keselamatan Isnin lalu.
Eksekutif Germanwings Thomas Winkelmann berkata bahawa juruterbang dalam pesawat berkenaan mempunyai pengalaman lebih 10 tahun dengan rekod jam penerbangan kira-kira 6,000 jam dengan Airbus.
Kemalangan berkenaan merupakan insiden melibatkan kapal terbang terburuk pernah berlaku di bumi Perancis sejak tahun 1974 apabila sebuah pesawat Turkish Airlines telah terhempas lalu mengorbankan 346 orang.
Germanwings berkata seramai 67 warga Jerman dipercayai berada dalam pesawat 4U 9525 itu, sementara terdapat 45 orang dengan nama seperti orang Sepanyol turut menjadi mangsa dalam penerbangan tersebut.
Mangsa-mangsa lain berkemungkinan merupakan warganegara Colombia, Argentina, Australia, Jepun, Belgium, Denmark, Mexico dan Britain.
GALERI FOTO: