Nahas Ethiopian Airlines: 149 penumpang, 8 kru pesawat disahkan terkorban
Afiq Ariffin
Mac 10, 2019 20:10 MYT
Mac 10, 2019 20:10 MYT
Ethiopian Airlines mengesahkan kesemua 149 penumpang bersama lapan kru di dalam pesawat miliknya yang terhempas pagi Ahad terkorban.
Syarikat penerbangan itu dalam kenyataan media memaklumkan mangsa terdiri daripada 33 warganegara berbeza.
Punca pesawat itu terhempas masih belum dikenal pasti dan sedang disiasat.
Pesawat Ethiopian Airlines ET302 itu dilaporkan terhempas selepas enam minit ia berlepas dari Addis Ababa pada jam 8.44 pagi waktu tempatan ke Nairobi, Kenya pada Ahad.
Menurut laporan BBC, seorang saksi di tempat kejadian mendakwa ternampak kebakaran berlaku pada pesawat itu sebelum ia terhempas.
"Ada letupan dan api yang sangat kuat sehingga kami tidak dapat mendekatinya.
"Semuanya terbakar dan empat helikopter ada di tempat kejadian sekarang," kata saksi berkenaan.
Susulan nahas, Pejabat Perdana Menteri Etiopia pada Ahad mengucapkan takziah kepada keluarga penumpang dan kru.
“Pejabat Perdana Menteri, bagi pihak kerajaan dan rakyat Etiopia, melahirkan rasa duka cita kepada keluarga yang kehilangan tersayang dalam nahas Ethiopian Airlines Boeing 737 yang dalam penerbangan ke Nairobi, Kenya pagi ini.”
Menurut portal Flightradar24, pesawat itu sepatutnya tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Jomo Kenyatta jam 10.25 pagi waktu tempatan.
Pesawat Boeing 737 MAX 8 itu didakwa baru digunakan sekitar empat bulan lalu.
Dalam kenyataan awal, syarikat penerbangan itu berkata operasi mencari dan menyelamat sedang dilakukan berhampiran lokasi kemalangan di sekitar bandar Bishoftu, yang terletak 60km di tenggara ibu negara.
"Kakitangan Ethiopian Airlines akan dihantar ke tempat kejadian dan akan melakukan segala yang mungkin untuk membantu perkhidmatan kecemasan," menurut kenyataan itu.
#ET302
#Ethiopian Airlines
#kemalangan
#Kenya
#maut
#mencari dan menyelamat
#operasi
#Perdana Menteri
#pesawat
#terhempas