Nahas EgyptAir 804: Perancis mulakan siasatan terkait pembunuhan

Agensi
Jun 28, 2016 14:30 MYT
Antara poster yang dibawa dalam acara berkabung dan mengingati nahas EgyptAir di Kaherah pada 24 Mei lalu. - Foto AP
Pihak berkuasa Perancis membuka siasatan berkaitan pembunuhan tanpa niat pada Isnin dalam kes nahas pesawat EgyptAir pada Mei lalu, berikutan pasukan penyiasat tidak menjumpai sebarang petunjuk atau bukti untuk menghubungkan kejadian itu dengan keganasan.
Jurucakap pejabat pendakwaraya, Agnes Thibault-Lecuivre berkata inkuiri itu pada awalnya dilancarkan sebagai siasatan kemalangan, bukan siasatan keganasan. Menurutnya, pihak berkuasa Perancis sama sekali tidak bersetuju pada teori pesawat itu dijatuhkan dengan sengaja, walaupun status inkuiri boleh berubah jika terdapat bukti sokongan.
Tambah jurucakap berkenaan, pasukan penyiasat mengambil keputusan memulakan siasatan sebelum melakukan analisis ke atas data penerbangan dan perakam suara pesawat itu, lapor AP.
Ia dilakukan berdasarkan bukti yang dikumpulkan setakat ini, ujar Thibault-Lecuivre tanpa mengulas lanjut.
Pesawat EgyptAir 804, dari model Airbus A320 yang dalam laluan Paris ke Kaherah, menjunam ke Laut Mediterranean pada 19 Mei lantas mengorbankan 66 nyawa. Punca nahas berkenaan masih belum jelas, dengan tiada panggilan kecemasan dibuat oleh juruterbang dan tiada pihak mendakwa bertanggungjawab terhadap tragedi itu.
Pegawai rasmi di Kementerian Penerbangan Awam Mesir berkata pihak berkuasa negara itu belum diberitahu mengenai keputusan pihak pendakwaraya Perancis.
“Tiada bukti yang menyokong atau merumuskan sebarang kemungkinan yang menyebabkan nahas, termasuk sama ada ia adalah tindakan pengganas atau masalah teknikal,” ujarnya.
Jawatankuasa siasatan Mesir bertanggungjawab mengeluarkan laporan akhir, namun Perancis juga boleh menjalankan siasatan kerana pesawat itu dikeluarkan syarikat Airbus yang berpangkalan di negara itu, selain terdapat mangsa dari Perancis.
Pasukan mencari telah berjaya menjumpai dua alat perakam penerbangan, namun keadaannya yang rosak teruk menyukarkan penyiasat Mesir memuat turun sebarang maklumat daripadanya.
Kad storan memori daripada kotak hitam berkenaan telah tiba di Paris pada Isnin, ujar penyiasat Mesir.
Juruteknik di agensi siasatan kemalangan Perancis, BEA, akan cuba membersih dan membetulkan kotak hitam tersebut, dan seterusnya dipulangkan semula ke Mesir untuk dianalisis, ujar jurucakap BEA Sebastien Barthe.
Dalam satu kenyataan pada Isnin, jawatankuasa siasatan Mesir berkata alat perakam data penerbangan itu telah dibaiki sepenuhnya.
#BEA #EgyptAir 804 #Kaherah #nahas EgyptAir #nahas pesawat #Paris #siasatan nahas penerbangan
;