Nahas China Eastern Airlines: Operasi mencari kotak hitam kedua diteruskan
Agensi
Mac 25, 2022 21:45 MYT
Mac 25, 2022 21:45 MYT
WUZHOU: Pihak berkuasa China meneruskan operasi mencari kotak hitam kedua pesawat China Eastern Airlines MU5735 yang terhempas di selatan China Isnin lalu.
Operasi berkenaan bagaimanapun berdepan kesukaran lebih-lebih lagi dengan keadaan cuaca hujan.
Perkampungan Lu, iaitu lokasi kejadian dikawal ketat pihak keselamatan dengan setiap kenderaan yang ingin memasuki kawasan berkenaan perlu melalui pemeriksaan rapi.
Hasil pemerhatian agensi berita yang membuat liputan, ahli keluarga mangsa nahas tidak kelihatan pada Jumaat.
Bagaimanapun, ratusan anggota pasukan mencari dan menyelamat (SAR) termasuk Pasukan Khas Bahan Kimia Berbahaya (Hazmat) dilihat berada di perkampungan itu bagi menjalankan siasatan dan operasi pencarian.
Mereka turut menggunakan anjing pengesan dan peralatan mengesan objek dan mangsa dalam operasi itu.
Dalam kejadian pada Isnin, pesawat Boeing 737-800 yang membawa 132 penumpang itu dalam penerbangan dari bandar Kunming ke Guangzhou sebelum terhempas di kawasan pergunungan di Selatan China.