Nahas China Eastern Airlines: China sahkan semua 132 mangsa maut

Agensi
Mac 26, 2022 01:05 MYT
Ibu pejabat tindak balas kecemasan negara untuk kemalangan pesawat MU5735 membuat pengumuman itu selepas enam hari usaha mencari dan menyelamat habis-habisan. - Gambar fail/ AP
KESEMUA 132 penumpang dan anak kapal pesawat China Eastern Airlines yang terhempas di Wilayah Autonomi Guangxi Zhuang di selatan China 21 Mac lalu, disahkan terkorban.
Ibu pejabat tindak balas kecemasan negara untuk kemalangan pesawat MU5735 membuat pengumuman itu selepas enam hari usaha mencari dan menyelamat besar-besaran, lapor Bernama memetik agensi berita Xinhua.
"Dengan penuh dukacitanya kami di sini mengumumkan bahawa 123 penumpang dan sembilan anak kapal dalam pesawat China Eastern Airlines Penerbangan MU5735 pada 21 Mac telah meninggal dunia," kata Hu Zhenjiang, Timbalan Komander Ibu Pejabat dan Timbalan Ketua Pentadbiran Penerbangan Awam China, lewat Sabtu.
Nahas Pesawat | Satu daripada dua kotak hitam ditemukan
Mengikut keperluan yang dibuat oleh Jawatankuasa Pusat Parti Komunis China dan Majlis Negara, ibu pejabat telah mengatur kakitangan dari pelbagai jabatan, termasuk bomba, askar, polis bersenjata, keselamatan awam, kesihatan dan kuarantin, untuk menjalankan siasatan besar-besaran di tapak nahas sejak enam hari berturut-turut, katanya.
"Bersama-sama dengan analisis pakar kandungan video dalam pelbagai peralatan pemantauan dan rakaman, data utama yang direkodkan oleh kemudahan seperti radar kawalan trafik udara, dan khususnya pengedaran serpihan di tapak nahas, dapat ditentukan bahawa tidak ada tanda-tanda kehidupan di tapak nahas," kata Hu.
Setakat ini, identiti 120 mangsa nahas pesawat itu disahkan melalui ujian DNA.
#China Eastern Airlines #pesawat terhempas #semua mangsa maut #pihak berkuasa China
;