Nafi permintaan Justo untuk berpindah selaras dengan undang-undang Thai - Menteri Kehakiman
Bernama
September 19, 2016 23:24 MYT
September 19, 2016 23:24 MYT
Keputusan menolak permintaan bekas pekerja PetroSaudi International, Andre Xavier Justo, untuk menjalani baki hukuman penjara di negaranya Switzerland, adalah 'selaras dengan undang-undang Thai'.
Menurut Menteri Kehakiman Thailand, Jen Paiboon Koomchaya, di bawah undang-undang negara itu, seseorang yang memohon dipindahkan bagi menjalani baki tempoh hukuman penjaranya, mestilah mempunyai "tidak kurang dari setahun baki" tempoh hukumannya.
"Tetapi baki penggal penjara banduan ini (Justo) adalah sembilan bulan, yang tidak memenuhi syarat undang-undang perjanjian pemindahan (banduan).
"Keputusan Jabatan Koreksional adalah selaras dengan perjalanan undang-undang," katanya kepada Bernama dalam interbiu menerusi telefon hari ini.
Paiboon bulat-bulat menafikan dakwaan oleh portal berita 'Sarawak Report' dan sebuah akhbar Switzerland 'Le Temps' kononnya Bangkok membuat keputusan itu kerana tekanan pihak luar.
"Bagaimana sebuah negara lain boleh campur tangan dalam urusan dalam negeri kami. Hakikatnya ialah beliau (Justo) tinggal sembilan bulan lagi hukuman penjaranya," kata menteri itu.
Justo mengaku bersalah pada 17 Ogos tahun lepas cuba mengugut PetroSaudi International, yang mempunyai urusan dengan 1Malaysia Development Berhad.
Mahkamah itu memerintahkan hukuman penjara bermula pada 22 Jun, hari Justo ditangkap di pulau peranginan Koh Samui di selatan Thailand.
Beliau didakwa di bawah Seksyen 338 Kanun Keseksaan Thai yang membawa hukuman penjara antara satu hingga 10 tahun dan denda antara 2,000 baht (RM222) dan 20,000 baht (RM2,223). -- BERNAMA