Myanmar setuju pelarian Rohingya dihantar pulang - Menteri Luar Bangladesh
Bernama
Oktober 20, 2022 04:01 MYT
Oktober 20, 2022 04:01 MYT
DHAKA: Bangladesh pada Khamis memaklumkan bahawa Myanmar telah bersetuju agar pelarian Rohingya dihantar pulang di bawah perjanjian dua hala yang ditandatangani pada November 2017.
"Berita baiknya adalah kerajaan Myanmar sekarang bersetuju agar warga Rohingya dihantar pulang, manakala kemudahan di negeri Rakhine sedang dibangunkan," Menteri Luar AK Abdul Momen berkata dalam sidang media di Dhaka lapor Agensi Anadolu.
China sebagai sekutu penting Myanmar akan memudahkan proses penghantaran pulang, katanya.
Menteri Bangladesh itu memberi taklimat kepada media sejurus selepas mengadakan pertemuan dengan utusan China ke Dhaka, Li Jiming.
Beliau bagaimanapun mengkritik pihak berkuasa Myanmar kerana merumitkan proses berkenaan dengan menuntut dokumen pengenalan diri Rohingya.
"Apabila Rohingya melarikan diri dari Rakhine, keadaan sangat berbahaya dan mereka datang ke Bangladesh sehelai sepinggang.
"Bagaimana mereka boleh menyediakan dokumen untuk membuktikan identiti mereka sebagai warga Myanmar?" soalnya.
Beliau berkata dua proses penghantaran pulang sebelum ini gagal kerana Rohingya tidak yakin dengan pihak berkuasa Myanmar.
"Jadi, kali ini kami mahu melakukan sesuatu yang mampan," katanya.
Bangladesh kini menjadi tuan rumah kepada lebih 1.2 juta pelarian Rohingya yang berada di khemah sementara di daerah sempadan selatan Cox's Bazar.
Kebanyakan pelarian Rohingya tanpa kerakyatan itu melarikan diri daripada tindakan kejam tentera di Rakhine pada Ogos 2017.
-- BERNAMA