Myanmar musnahkan gading, tanduk dan tulang hidupan liar bernilai lebih RM5 juta
Agensi
Oktober 4, 2018 18:15 MYT
Oktober 4, 2018 18:15 MYT
Pihak berkuasa Myanmar pada Khamis memusnahkan longgokan gading gajah, sisik tenggiling dan banyak lagi bahagian tubuh haiwan yang dirampas, sebagai sebahagian daripada usaha membanteras penyeludupan hidupan liar.
Reuters melaporkan, semua barangan tersebut ditaksir bernilai AS$1.3 juta (RM5.4 juta) di pasaran gelap.
Bertempat di pekarangan sebuah bangunan kerajaan di Naypyitaw, pihak berkuasa bertindak membakar sejumlah 277 gading gajah, 1,544 tanduk rusa, 180 ketul tulang harimau dan banyak lagi barangan haram yang kesemuanya mencapai jumlah berat 1.4 tan.
“Memelihara dan melindungi sumber semula jadi di negara ini sangat penting, termasuk tanah, air, hutan, gunung dan hidupan liar. Semuanya demi generasi masa depan,” ujar Menteri Sumber Alam dan Pemuliharaan Alam Sekitar, Ohn Win.
Myanmar terletak dalam zon Segi Tiga Emas bersama Thailand dan Laos, yang merupakan pusat kepada aktiviti perdagangan haram hidupan liar.
Aktiviti terlarang dengan rangkaian global itu, kebanyakannya diseludup ke China.
Sebuah laporan daripada kumpulan konservasi Save The Elephants minggu ini menyatakan, pengharaman perdagangan gading gajah oleh China tidak mampu menghentikan aktiviti tersebut di Mong La, iaitu bandar sempadan Myanmar-China.
Sejak tiga tahun lalu, aktiviti penjualan gading dilihat meningkat sehingga 60 peratus.