Myanmar mungkin hadapi pilihan raya 2025

Astro Awani
September 5, 2023 07:15 MYT
Sejumlah 36 parti politik telah diberikan kebenaran untuk mengambil bahagian dalam mana-mana pilihan raya akan datang.
NAYPYITAW: Seorang pegawai kanan parti politik Myanmar maklumkan, junta di negara itu berkemungkinan mengadakan Pilihan Raya Umum (PRU) pada 2025.
Pegawai kanan itu yang dibenarkan tentera untuk menjadi jurucakap, adalah dari Parti Solidariti dan Pembangunan Kesatuan.
Seorang ahli parti lain yang diluluskan junta turut mengesahkan berita itu kepada agensi berita AFP.
Suruhanjaya Pilihan Raya junta pada Selasa pula tidak memberikan tarikh khusus bila pilihan raya itu akan diadakan.
Bagaimanapun, suruhanjaya itu menyebut, sejumlah 36 parti politik telah diberikan kebenaran untuk mengambil bahagian dalam mana-mana pilihan raya akan datang.
Menurut Global New Light Myanmar yang disokong kerajaan, ketua junta, Min Aung Hlaing menggesa persiapan yang diperlukan disegerakan sebelum banci kebangsaan pada 2024.
Akhbar itu melaporkan, PRU hanya boleh dilakukan selepas bancian selesai diuruskan.
Sementara itu Amerika Syarikat (AS) berkata sebarang pilihan raya di bawah junta hanya akan menjadi "sandiwara palsu" bagi negara anggota ASEAN itu.
Malah, penganalisis meramalkan ia akan menjadi sasaran penentang junta.
Tentera mewajarkan rampasan kuasa pada Februari 2021 dengan mendakwa berlaku penipuan meluas dalam PRU 2020 yang dimenangi oleh Liga Kebangsaan Untuk Demokrasi (NLD) pimpinan Aung San Suu Kyi.
#pilihan raya umum #Junta #Min Aung Hlaing #SPR
;