Myanmar lanjutkan darurat selama enam bulan
Bernama
Januari 31, 2024 05:30 MYT
Januari 31, 2024 05:30 MYT
YANGON: Majlis Pertahanan dan Keselamatan Negara Myanmar (NDSC) pada Rabu melanjutkan darurat di negara Asia Tenggara itu selama enam bulan lagi, lapor Xinhua memetik kenyataan pasukan penerangan majlis itu.
Menurut laporan media, Pemangku Presiden U Myint Swe mengisytiharkan lanjutan tempoh darurat selama enam bulan lagi semasa mesyuarat NDSC pada Rabu.
Lanjutan itu dibuat mengikut Seksyen 425 Perlembagaan Negara berikutan keadaan luar biasa dalam negara, menurut laporan itu.
Mesyuarat itu juga membincangkan perkara berkaitan usaha membanteras penipuan telekomunikasi, pembangunan negara dan promosi sektor pendidikan, persediaan untuk pilihan raya umum serta persediaan untuk pelaksanaan bancian negara.
Myanmar mengisytiharkan darurat selama setahun pada Februari 2021, dan dilanjutkan sebanyak empat kali lagi sehingga 31 Jan tahun ini.
-- BERNAMA