Myanmar kecam resolusi PBB berkenaan Rohingya

APTN
Disember 24, 2017 04:48 MYT
Pelarian etnik Rohingya Fathemah kelihatan sedih ketika berkumpul pada program penyerahan barangan bantuan Food Flotilla for Myanmar di Kem Kutupalong. (foto: Bernama)
Pertubuhan Bangsa Bersatu meluluskan resolusi mengecam pencabulan hak asasi manusia di Myanmar.
10 negara menentang resolusi berkenaan, 122 menyokong dan 24 tidak mengundi.
Wakil Tetap Myanmar ke PBB, Hau Do Suan terdahulu menyifatkan resolusi tersebut sebagai satu penyelewengan dan bermotifkan politik dan cubaan secara terang-terangan untuk meletakkan tekanan politik yang tidak sepatutnya ke atas Myanmar.
Tambahnya, Naypyidaw gusar dengan cubaan secara berterusan untuk memburukkan kerajaan dan pihak berkuasa Myanmar.
Tegasnya lagi, ini adalah satu usaha negara-negara lain untuk menggunakan PBB demi menekankan agenda politik mereka ke atas Myanmar.
Hau Do Suan menambah, resolusi berkenaan tidak akan menyelesaikan isu di negeri Rakhine dan berkenaan pelarian Rohingya.
Beliau melaporkan ketika ini kerajaan Myanmar berusaha untuk membawa keamanan, harmoni dan pembangunan ke kawasan tersebut.
Sehingga kini beratus ribu etnik Muslim Rohingya telah melarikan diri dari negeri Rakhine atas dakwaan wujudnya kekejaman dari pihak berkuasa Myanmar.
#agenda #kerajaan #Myanmar #PBB #pelarian #politik #Rakhine #Rohingya
;