Kerajaan Myanmar digesa melaksanakan hukuman setimpal terhadap pihak yang terlibat dalam insiden sehingga berlakunya pertumpahan darah di bandar Meikhtila yang meragut 32 nyawa.

Penasihat Khas Setiausaha Agung Pertubuhan Bangsa Bersatu (PBB) untuk Myanmar, Vijay Nambiar menekankan perkara itu perlu diberi perhatian serius dalam memastikan keamanan berterusan.

Vijay menyatakan kebimbangan beliau selepas mengadakan lawatan ke bandar berkenaan.

Vijay juga berkata, “Sesiapa yang terlibat dalam keganasan ini, ia adalah penting untuk mereka ditangkap dan dihukum.”

Lawatan menyusul sehari selepas , Presiden Myanmar Thein Sein mengisytiharkan darurat di kawasan tersebut selepas berlaku pergaduhan etnik.

Perintah darurat itu membolehkan pasukan tentera membantu mengembalikan keamanan apabila keadaan dilaporkan semakin tegang.

Ini merupakan keganasan terburuk sejak pertempuran antara dua kumpulan penganut agama berbeza itu tercetus di Rakhine tahun lalu.

Insiden menyaksikan 180 nyawa terkorban manakala lebih 110,000 orang hilang tempat tinggal.