Myanmar beri amaran kepada dalang jenayah siber selepas usir lebih 1,000 penipu
Bernama
November 28, 2024 20:10 MYT
November 28, 2024 20:10 MYT
PHNOM PENH: Myanmar mengusir lebih 1,000 warga asing yang terbabit dalam penipuan dalam talian dan memberi amaran negara itu akan terus memburu dalang jenayah siber, menurut media rasmi.
Timbalan Menteri Dalam Negeri Myanmar, Mejar Jeneral Toe Yi berkata kerajaannya berjaya mengenal pasti dan mengusir 1,242 warga asing ke negara asal mereka antara 1 Jan 2022 hingga 22 Nov 2024, lapor The Global New Light of Myanmar.
Berita itu muncul selepas Bangkok Post pada Isnin melaporkan yang pegawai keselamatan Thailand menyelamatkan 39 warga asing dipercayai menjadi mangsa pusat panggilan di sepanjang sempadannya.
Seramai 32 rakyat Sri Lanka, lima Nepal, seorang rakyat Malaysia dan seorang warga Rusia melarikan diri dari pusat penipuan itu, menurut akhbar berkenaan.
Peningkatan jenayah siber di Myanmar mendapat perhatian negatif media antarabangsa dan menimbulkan kebimbangan di rantau ini.
Jawatankuasa Penyeliaan mengenai Tindakan Undang-Undang Segera dan Pengusiran Warga Asing yang Memasuki Myanmar Secara Haram bersama diplomat yang berpangkalan di Yangon mengadakan perbincangan pada Rabu untuk menangani aktiviti jenayah itu.
"Myanmar sedang giat berusaha mengenal pasti dan mengusir warga asing yang memasuki negara itu secara haram, terutamanya mereka yang terlibat dalam operasi penipuan dalam talian.
"Tindakan ini diambil selaras dengan undang-undang, prosedur yang ditetapkan serta prinsip saling menghormati dan pertimbangan kemanusiaan," kata Toe Yi.
Menteri itu berkata operasi keselamatan sedang dijalankan untuk mendedahkan aktiviti sulit yang membabitkan penipuan dalam talian dan warga asing yang menjadi dalang jenayah berasaskan Internet itu.
Pusat jenayah siber dalam talian berkembang pesat di Myanmar susulan rampasan kuasa tentera pada 2021 yang menggulingkan kerajaan awam, yang turut membawa kepada konfrontasi bersenjata dengan etnik minoriti.
Institut Keamanan Amerika Syarikat pada September merumuskan: "Situasi yang semakin berkembang ini menimbulkan ancaman langsung terhadap kepentingan nasional Thailand, AS, Malaysia dan puluhan negara lain di Eropah, Afrika dan Asia Selatan, yang kini menjadi sasaran penjenayah berpusat di Myanmar."
-- BERNAMA