MWL, OIC kecam serbuan Israel terhadap Masjid Al Aqsa dan serangan berterusan ke atas Gaza
Bernama
Ogos 8, 2022 06:30 MYT
Ogos 8, 2022 06:30 MYT
KUALA LUMPUR: Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) dan Liga Dunia Islam (MWL) turut mengecam tindakan Israel menyerbu kompleks Masjid Al Aqsa di Baitulmaqdis Timur yang diduduki dan serangan berterusan ke atas Gaza.
Sekretariat Agung OIC dalam kenyataan yang diterima Bernama mengutuk sekeras-kerasnya tindakan ratusan pendatang haram Yahudi yang mencemar kesucian Masjid Al-Aqsa, dengan perbuatan itu dilindungi pasukan pendudukan Israel.
Organisasi itu turut mengecam serangan berterusan tentera Israel ke atas Semenanjung Gaza, yang menurutnya telah meragut 31 nyawa termasuk enam kanak-kanak dan empat wanita selain mencederakan 250 orang awam Palestin.
"Tindakan ini merupakan pelanggaran terang-terangan terhadap undang-undang, resolusi dan perjanjian antarabangsa yang berkaitan", katanya.
Organisasi itu meletakkan tanggungjawab sepenuhnya kepada Israel (kuasa penjajah) terhadap sebarang kemungkinan akibat daripada pelanggaran serius ini yang bertujuan untuk memaksa pembahagian ruang dan waktu dalam kawasan Masjid Al-Aqsa untuk rakyatnya.
Organisasi itu juga memberi amaran bahawa serangan berterusan ke atas rakyat Palestin dan tapak suci mereka merupakan provokasi berbahaya yang akan memburukkan lagi ketegangan dan mendorong ke arah keganasan berterusan dan ketidakstabilan.
"Organisasi menegaskan bahawa Masjid Al-Aqsa sebagai "Al-Haram Al-Sharif" (the Sacred Compound) dengan keseluruhan kawasannya seluas 144 dunums (144,000 m2), adalah tempat ibadat untuk umat Islam semata-mata.
OIC juga menyeru masyarakat antarabangsa, terutamanya Majlis Keselamatan PBB, untuk mengambil tindakan segera bagi menghentikan serangan dan pelanggaran berulang ini, selain memaksa kuasa penjajahan Israel untuk menghormati kesucian tapak-tapak suci, memelihara status undang-undang dan sejarah Masjid Al-Aqsa, selain menyediakan perlindungan antarabangsa untuk rakyat Palestin.
Dalam nada sama, Liga Dunia Islam (MWL) turut mengecam provokasi serius terhadap kesucian tapak-tapak suci Islam oleh tentera Israel.
"Kesan pencabulan berterusan ini akan meningkatkan keganasan antara kedua-dua pihak di mana semua orang akan membayar harganya, selain menggagalkan usaha perdamaian", kata dalam kenyataan yang dilaporkan oleh Saudi Press Agency (SPA).
MWL menekankan pentingnya semua pihak berusaha untuk merealisasi keamanan yang adil serta menyeluruh dan menghentikan semua amalan yang menjejaskan peluang keamanan di rantau berkenaan.
Sementara itu, Jabatan Tertinggi bagi Hal Ehwal Masjidil Haram dan Masjid Nabawi menerusi portalnya turut mengecam pencabulan dan serangan terhadap Masjid Al-Aqsa dan halamannya.
Ketua Pengarahnya Sheikh Dr Abdul Rahman Al Sudais berkata, "Jabatan mengecam pencabulan kejam ini, yang melangkaui semua norma antarabangsa dan kemanusiaan, dan tidak menghormati kesucian nyawa dan tapak suci."
"Masjid Al Aqsa akan kekal teguh sehingga hari kiamat, dan apa yang dilakukan oleh peneroka haram Yahudi adalah pencabulan yang tidak boleh diterima oleh mana-mana agama dan norma", katanya sambil menyifatkan tindakan provokasi ini akan meningkatkan ketegangan dan memburukkan lagi keadaan.
Sudais turut menyatakan bahawa pelanggaran ini bercanggah dengan semua norma manusia dan menegaskan agama Islam yang sebenar menolak dan menganggap semua jenis pelanggaran seumpama ini sebagai jenayah.
Tapak suci yang menjadi pertikaian antara dua agama itu dikenali sebagai perkarangan Masjid Al-Aqsa untuk umat Islam dan Temple Mount bagi Yahudi, terletak di Kota Lama Baitulmaqdis dan diilhakan Israel ketika perang Asia Barat 1967.
Tapak itu telah ditadbir oleh Wakaf Muslim Jordan tetapi dilindungi pasukan polis Israel.
-- BERNAMA