MWC Barcelona: Telco, agensi Malaysia meterai sembilan MoU pada hari pertama

Bernama
Februari 27, 2024 06:20 MYT
Fahmi meluangkan masa pada hari kedua kongres untuk melawat pavilion beberapa rakan strategik dan dijangka menyaksikan pertukaran kira-kira 15 lagi MoU sepanjang empat hari MWC 2024 berlangsung. --fotoBERNAMA
BARCELONA: Sebanyak sembilan Memorandum Persefahaman (MoU) dimeterai membabitkan syarikat telekomunikasi dan agensi di Malaysia pada hari pertama Mobile World Congress Barcelona 2024 (MWC 2024) yang bermula di sini pada Isnin.
Pemeteraian itu disaksikan oleh Menteri Komunikasi Fahmi Fadzil di Pavilion Malaysia yang merangkumi kerjasama dalam bidang seperti kecerdasan buatan (AI), 5G dan teknologi lanjutan 5G dan keselamatan siber.
Antaranya kerjasama Huawei dengan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia yang bertujuan memupuk inisiatif pembangunan bakat dalam industri komunikasi dan multimedia selain menjalankan penyelidikan bersama yang berkaitan dalam bidang itu.
Selain itu, CyberSecurity Malaysia (CSM) dan CTM360 W.L.L, sebuah firma keselamatan siber terkenal dalam pengurusan ancaman merentas pelbagai platform laman sesawan, telah mencapai kata sepakat untuk bekerjasama dalam memerangi ancaman siber di Malaysia selain berkongsi risikan ancaman.
Tujuh lagi MoU yang dimeterai ialah U Mobile dengan ZTE, U Mobile dengan CelcomDigi, Maxis dengan Huawei, Maxis dengan Dell Technologies, Maxis dengan Nokia serta ITCO Niaga dengan Ausonia S.r.l.
Fahmi telah meluangkan masa pada hari kedua kongres untuk melawat pavilion beberapa rakan strategik terbabit dan dijangka menyaksikan pertukaran kira-kira 15 lagi MoU membabitkan syarikat serta agensi telekomunikasi Malaysia sepanjang empat hari MWC 2024 berlangsung.
Terdahulu, Fahmi yang mengetuai delegasi Malaysia ke kongres itu telah mengunjungi pavilion beberapa pemain industri terkemuka termasuk Huawei, Ericsson, Nokia dan ZTE.
-- BERNAMA
#Fahmi Fadzil #barcelona #MWC 2024 #MoU
;