Muzium Masa Depan di Dubai dibuka pada Selasa
Astro Awani
Februari 22, 2022 12:52 MYT
Februari 22, 2022 12:52 MYT
DUBAI: Kebanyakan muzium menempatkan koleksi khazanah sejarah purba atau barangan masa silam.
Namun, jika ingin melihat dunia masa depan, Museum of the Future yang dibina di Dubai, Emiriah Arab Bersatu (UAE) adalah tempat wajib dikunjungi kerana ia menjadi mercu tanda dan ruangan yang menempatkan sejumlah idea dan prototaip futuristik.
Bukan itu sahaja yang boleh dibanggakan, ia turut dilengkapi dengan struktur binaan setinggi tujuh tingkat dan dibina tanpa sebarang tiang.
Sehari sebelum pintu muzium dibuka secara rasmi, pencipta kelengkapan jet yang menyerupai Iron Man, Richard Browning melakukan aksi terbang sambil memberikan tiket ekslusif kepada orang awam.
Bangunan setinggi 77 meter itu diliputi besi tahan karat yang diukir dengan penulisan kaligrafi berkeluasan 14,000 meter persegi hasil karya Mattar bin Lahej.
Ini menjadikannya satu-satunya bangunan di dunia yang mempunyai permukaan yang diliputi sepenuhnya dalam seni kaligrafi.
Sebaik ia dibuka kepada orang ramai pada 22 Februari 2022, tidak mustahil lebih ramai pelabur bakal tertumpu ke UAE dalam usaha mendapatkan pelbagai idea dan inovasi baharu, selain melaburkan dana dalam membangunkan pelbagai idea baru yang menarik.